Padah Bercakap Besar - Sesat Di Alam Ghaib



Ajit ( bukan nama sebenar ) salah seorang pegawai Institut Perakaunan Negara (IPN) yang hampir 3 tahun bekerja di sana (saya agak). Ajit berasal dari pekan Tanjung Karang, Kuala Selangor berulang alik setiap hari ke Institut Perakaunan Negara memakan masa selama satu jam untuk sampai di tempat kerjanya. Entah kenapa dia tidak berminat untuk menyewa rumah yang sememangnya ada di sekitar kawasan tempat kerjanya. Azwan, anak Wak Din yang bertubuh agak besar dan berisi itu adalah sahabat karibnya di tempat kerja.

Kebetulan pada suatu hari mereka berjumpa sambil bersembang, terselit cerita berkenaan orang bunian di sekitar kawasan tempat kerjanya. Ajit dengan selamba berkata ''Alah, kalau setakat kawasan ini je aku tak takut pun, bukan nak jadi apa..Bacakan je ayat Kursi cukuplah, lari semua hantu syaitan jin''. Lebih kurang begitulah kata kata nakalnya. Azwan terus memintas kata kata kawan baiknya tu, ''Cakap tu berlapik la sikit, kalau iye pun boleh jampi menjampi tak payahlah cakap macam tu, nanti menyusahkan aku je'' Kata Azwan mengingatkan kawan baiknya itu. Azwan memang sedia faham, kawasan tempat kerjanya memang sudah berkali kali terjadi peristiwa ganjil termasuk baru baru ini salah seorang pengawal keselamatannya ternampak orang berkelah dan mandi manda di kawasan swimming pool sebelah bangunan admin. Seorang pengawal keselamatan yang kebetulan berada berhampiran pun dapat menyaksikan keganjilan itu. Tapi bila bos mereka dipanggil, tiba tiba lenyap semua apa yang dilihat dari pandangan mata.

Orang kampung tahu keadaan yang sebenarnya tetapi sengaja membiarkan sahaja sebab selama ini orang orang bunian ini tidak pernah mengganggu mereka, masing masing dengan alam dan kesibukan sendiri. Kalau ada orang luar dan baru datang kerja biasanya kena sakat dan di usik sekejap, mungkin salam perkenalan bagi mereka tapi bagi kita yang penakut ini itu bukan begurau namanya.

Ajit petang tu agak tergesa gesa bersiap nak balik, selepas punch card dia terus ke parking motosikalnya. Mungkin ada temu janji dengan kawan kawannya minum teh di kampung. Jam sudah menunjukkan pukul 5.00 pm. '' Pukul 6.00pm sampailah nanti'' Hatinya berbisik. Di dalam masa dia menarik keluar motosikalnya dari garaj, terfikir apa yang dikatakannya tadi. '' Apa nak di risaukan, aku bukan nak ajak gaduh..ah mintak dijauh le'' Sambil membonceng motosikalnya dia membaca apa yang selalu diwiridkannya sewaktu memandu. Ajit ni sebenarnya budak baik. Keluarganya pun orang baik baik. Kira masih ada bau ugama jugak lah. Nasibnya kurang baik petang itu.

Sudah dua kali dia berulang alik di jalan yang sama berdepan dengan pintu gerbang IPN tempat kerjanya. Biasanya dia akan keluar menuju ke Pekan Parit Baru dan terus ke arah Sabak Bernam untuk balik ke Tanjung. Tapi petang itu dia tak nampak jalan yang biasa dia lalu. Dia hairan sebenarnya kenapa dia tidak berjumpa jalan laluan hariannya. Kalau diikutkan jalan tadi tak lama dia akan sampai ke pekan kecil itu. Jam sudah menunjukkan 5.30pm, Ajit masih ulang alik di depan pejabat IPN lagi.

Lama kelamaan dia menghentikan motosikalnya di salah sebuah simpang jalan yang berdekatan. Sehinggalah magrib hampir masuk waktu. Anehnya tidak ada seorang pun yang lalu, dia bercadang nak tanya orang yang lalu lalang disitu untuk meminta bantuan. ''Aku ni tersesat jalan ni..'' Bisik hati kecilnya. Ajit mula risau bila jam ditangan sudah menunjukkan masuknya waktu magrib. Hampir dua jam dia disekitar jalan masuk ke pejabatnya di IPN. Orang tak ada, hari semakin gelap. ''Ah daripada susah susah solat dulu lah'' Ajit bercakap seorang diri. 

Tiba tiba Ajit ternampak sebuah masjid besar tak jauh dari tempat dia berhenti."Eh, ada masjid pulak , masjid apa tu ? ", Ajit tergumam memandang sebuah masjid yang besar dan cantik. Lain dari yang lain. Ajit belum pernah jumpa masjid besar seperti itu di kawasan ini. Ajit terus menyelusuri jalan yang terlihat di hadapannya tanpa membuang masa lagi. Tanpa rasa takut dan was was dia terus masuk ke dalam masjid yang baru ditemuinya itu untuk menunaikan solat fardhu magrib.

Apabila dia melangkah masuk ke dalam masjid itu terasalah betapa luas dan indah masjid itu. Syilingnya berwarna kuning, dindingnya penuh dengan ukiran yang cantik dari ayat ayat al quran, karpetnya tebal dan empuk. Sangat lembut karpet yang dipijaknya. Terasa seperti tenggelam tapak kakinya ke dalam lantai masjid tersebut. Apabila dilihat para jemaah sudah mula mendirikan solat Ajit pun segera bermakmum di belakang mereka. 

Ramai juga jemaahnya, hampir penuh masjid. Sambil kumat kamit mulutnya membaca surah fatihah fikirannya berjalan ke sana kemari , sekejap ke depan melihat imam, siapa imamnya, sekejap ke tepi, ke kanan ke kiri. Sembahyang orang hairan..susah nak khusyuk. Sebenarnya hati Ajit berasa tenang berada di dalam masjid tersebut, sedikit pun tidak merasa gementar atau takut. Tidak seperti sebelumnya yakni sewaktu mencari jalan balik tidak berjumpa. 

Waktu itu itu Ajit merasa sangat risau dan khuatir. Terfikir perkara yang bukan bukan di dalam benak fikirannya. Sekarang Ajit sudah menyelesaikan solatnya. Ajit membetulkan lipatan kakinya untuk bersila sambil matanya tidak berhenti memandang keliling kawasan dalam masjid itu. Mulutnya mula membacakan wirid selesai solat seperti biasanya. Aneh, sedari tadi tidak ada siapa pun yang menyapanya. Jin ke apa ni sebenarnya'' Gumam hatinya. Bibirnya terus membacakan wirid bersama imam dan mengaminkan doa tok imam tidak lama selepas itu.

Sewaktu Ajit hendak berdiri dari duduknya tiba tiba Ajit terasa seperti tersandung sesuatu, entah besi entah kayu, barulah Ajit tersedar Ajit tersandung motosikalnya. Ajit mendapati dirinya disebelah motosikalnya tadi. Entah bila masanya dia duduk menyandar di tepi motosikal yang di hentikan di persimpangan jalan tadinya. Ajit teraba raba kunci motosikalnya kerana gelap. Hairannya tak sudah, cepat cepat dia membonceng motosikalnya dan berlalu dari situ. Baru dia nampak jalan yang dicari cari dari petang tadi. Apabila sampai di kawasan berlampu neon kuning itu Ajit melihat jam tangannya,'' Dah dekat isya'' Bisiknya. 

Hampir tiga jam rupa rupanya Ajit berkeliaran di sekitar jalan jalan sunyi di situ.'' Tobat aku tak nak cakap yang bukan bukan lagi, sesat jalan aku dibuatnya'' Agaknya ada yang dengar cakap aku tadi kot, tu yang di buatnya aku macam macam tadi'' keluh si Ajit sambil menggelengkan kepalanya. Tanpa membuang masa Ajit memulas pedal minyak motosikal selaju lajunya terus pulang ke rumah.

Pada keesokan harinya, dia berjumpa dengan Azwan awal awal lagi. Azwan terkejut mendengar kisah dirinya tersesat ke alam bunian berjemaah solat maghrib dengan mereka di masjid berwarna kuning. Azwan menceritakan semula kepada ayahnya kisah kawan baiknya tersesat jalan dan terjumpa masjid seperti yang pernah diceritakan oleh ayahnya suatu ketika dahulu. Wak Din tersenyum mendengar cerita anaknya '' Betul lah tu'' Kata Wak Din sambil mengakhiri ceritanya.

Moral cerita benar ini : Jaga lidah dari mengungkapkan sesuatu yang jelek, atau kata kata sombong terutama di kawasan yang asing bagi kita seperti di dalam hutan, sungai, di laut, atau di dalam kawasan masjid terutamanya Masjidil Haram. Makhluk makhluk halus ini sentiasa berkeliaran dan mendengar seperti kita, melihat seperti kita melihat. Mereka juga berperasaan seperti perasaan kita. Oleh itu perhatikanlah apa yang boleh kita jadikan teladan dari cerita ini.

Sumber : Koleksi Cerita Seram

No comments:

Post a Comment