Lagenda Pahlawan Antanum



Antanum atau Antanom (Ontoros Antanom) (1885-1915) adalah pahlawan Murut yang terkenal dan perkasa dari Borneo Utara (kini Sabah), Malaysia yang menurut sejarah lisan tempatan didakwa memiliki kuasa sakti. Oleh itu dia telah menerima sokongan dari ketua dan penduduk dari kampung sekitar Keningau, Tenom, Pensiangan dan Rundum dan mendorong kepada kebangkitan Rundum menentang Syarikat Borneo Utara British tetapi telah terbunuh semasa pertempuran dengan tentera syarikat di Sungai Selangit berhampiran Pensiangan.

Antanom menggerakkan pemberontakan Rundum menentang penjajah pada tahun 1915. Antanom atau Ontoros dilahirkan di kawasan "Masinpunon" sungai Salarom pada tahun 1885 dan berumur dalam lingkungan 30 tahun ketika pemberontakan itu dilancarkan. Antanom adalah anak keturunan Suku Murut Tagol dari golongan bermartabat mengikut adat istiadat  kaum murut. Dia dibesarkan dalam zaman daerah kampungnya dilanda oleh persengketaan kaum dan oleh ancaman pemburu kepala kaum Dayak dari kawasan perbatasan atau dikenali dengan istilah " Pengayau ".

Didikan yang diterimanya ialah mengenal kehidupan rimbanya dan bermain senjata. Jiwanya dibentuk agar menjadi seorang kalawon atau pahlawan dan semangat sedia berkorban telah disemai dalam hidupnya supaya bertanggungjawab melindungi keluarga dan kaumnya. 

Perwatakan Antanom/Ontoros yang berbadan tegap berambut panjang itu, bila lengkap berpakaian tradisi, bercawat dengan tombak ditangan dan Pailang tersisip dipinggang, dia kelihatan gagah dan mengerunkan. Sikapnya tegas dan tenang dalam menghadapi bahaya. Bila dia telah memutuskan sesuatu, dia akan kotakan kata-katanya dan bertindak dengan penuh keazaman.

Antanom dikagumi bukan saja kerana kehebatannya menggerakkan pemberontakan menentang Kompeni Inggeris itu, tetapi lebih kepada kewibawaannya menyatupadukan kaumnya yang ketika itu sedang dilanda sengketa dan perpecahan. Inggeris sendiri mengakui keistimewaan Antanom mendamai dan menyatupadukan suku-suku Murut yang bermusuhan itu. 

Faktor yang menyebabkan tercetusnya penentangan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris didorong oleh beberapa sebab yang telah terkumpul dan menjadi bara. Sejak tahun 1909 gerakan menentang Inggeris sudah dimulakan oleh kaum Murut, tetapi setelah dua orang pemimpinnya terbunuh, Linggam dan Melayak, gerakan penentangan itu terhenti buat sementera waktu.

Kemarahan dan kegelisahan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris berpunca dari empat perkara utama. Hak mereka dicerobohi, bila ramai daripada pedagang hasil hutan dibenarkan mengutip hasil hutan di pedalaman. Mereka dijadikan buruh paksa membina jalan denai ( Jalan Kuda ) dan merentang kawat telegraph antara Tenom ke Rundum tanpa upah. Upah yang diberikan kepada mereka sekadar rokok tembakau sahaja. Mengenakan cukai kepala, padi dan tapai juga menyumbang kepada kemarahan mereka. Semuanya ini pada pandangan mereka adalah tidak wajar. Kehidupan mereka yang merdeka dan bebas di kawasan belantara luas itu telah terganggu.

Antara lainnya, dibawah pentadbiran Syarikat Borneo Utara British (British Chartered North Borneo Company - BCNBC), selain mengenakan pelbagai cukai yang tidak pernah didengari oleh penduduk tempatan, pihak British turut memaksa setiap pasangan Murut yang memiliki dua orang anak untuk menyerahkan seorang dari mereka sebagai buruh syarikat.

Keadaan bertambah buruk lagi pada tahun 1910 apabila Kompeni Inggeris menghantar buat pertama kalinya seorang Pegawai Daerah Mazwell Hall, membuka setesen di Rundum, sebagai langkah menyekat kegiatan memburu kepala.

Hilang sabar, Ontoros Antonom mengumpulkan hampir seribu pahlawan Murut dari Tenom, Keningau dan Pensiangan untuk menentang empayar British pada tahun 1915. Seramai tidak kurang seribu orang kaum Murut dari beberapa kawasan, termasuk Tenom, Keningau, Pensiangan dan perbatasan daerah Borneo Belanda, telah menyertai gerakan pemberontakan itu. Pegawai British dikejutkan dengan beratus pahlawan Murut membanjiri bangunan pentadbiran mereka dan menyerang mereka. Ontoros Antonom membina beberapa kubu dengan terowong bawah tanah dan rumah.

Tugu Antanum
Pada April 1915, pihak British menghantar 400 orang tentera yang dilengkapi dengan senjata api bagi menyerang balas. Sungguhpun pihak Murut hanya memiliki senjata asas seperti sumpitan, pedang dan lembing, tentera British gagal menundukkan mereka. .Dengan itu mereka memasang perangkap dengan menawarkan perundingan damai di Rundum. Dalam pertempuran di kubu induk mereka, 

Antanom/Ontoros diperdaya dengan gencatan senjata dan niat untuk berdamai, tetapi sebaliknya mata-mata upahan Inggeris telah memenggal kepalanya. Apabila Ontoros Antonom dan pengikutnya dalam perjalanan ke tapak tersebut, mereka dikepung dan ditahan oleh beratus-ratus tentera British. Selepas itu Ontoros Antonom telah dihukum mati oleh pihak British.

No comments:

Post a Comment