Gambar Hiasan |
Pengalaman terserempak roh mungkin biasa kita dengar dengan pelbagai catatan, termasuk dakwaan menggerunkan mengenai ‘wajah’ mereka yang sudah meninggal dunia. Keadaan sama juga berlaku di luar negara, seperti dialami Paula John yang menetap di sebuah pekan kecil Holly di Idaho, Amerika Syarikat pada 2001. Rumah Paula terletak berhampiran dengan lebuh raya utama.
Pada satu hari kira-kira jam 7.00 petang, ketika dia bersendirian di rumah menonton televisyen, Paula terdengar bunyi dentuman kuat. Dia berlari keluar untuk melihat apa yang berlaku.
“Eh! Kemalangan rupanya. Baik aku jengok jika masih ada mangsa yang boleh diselamatkan,” katanya dalam hati sambil berlari pantas ke tempat kejadian. Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta dengan asap berkepul-kepul daripada bahagian depan kenderaan itu yang rosak teruk.
Gambar Hiasan |
Paula agak ketakutan apabila menyedari kemalangan baru berlaku. Tiang lampu mengalami sedikit kerosakan dan bengkok. Paula tahu pemandu hilang kawalan dan melanggarnya. Dia berjalan ke arah kenderaan untuk meninjau keadaan pemandu dan kemungkinan menawarkan bantuan apabila seorang lelaki tiba-tiba keluar daripada belakang kereta. Paula bertanyakan keadaannya. Lelaki berkenaan cuma berdiri tegak di situ dengan wajah keliru, mula melihat sekeliling, melihat kereta dan berlalu pergi.
Sekali lagi Paula menjerit bertanya keadaannya. Lelaki berkenaan cuma merenung Paula tanpa menunjukkan sebarang reaksi dan berjalan ke belakang kereta itu.
Dengan bantuan sinaran lampu jalan, Paula nampak baju yang dipakai lelaki itu - baju biru lengan panjang, seluar khaki coklat, kasut hitam dan memakai apa yang kelihatan seperti alat pendengar atau set fon di kepalanya. Rambutnya pendek dan kelihatan dalam lingkungan awal 20-an.
Menyedari keadaan itu, Paula masuk ke dalam rumah dan menghubungi talian 911. Sebuah kereta peronda polis dengan dua pegawai tiba segera. Seorang pegawai menjaga kawasan kejadian manakala seorang lagi mencari mangsa. Paula menghampiri salah seorang pegawai.
“Ya, saya yang menghubungi pihak tuan tadi. Saya mendengar bunyi dentuman kuat dan sebaik keluar, saya melihat ada nahas berlaku,” katanya dan disusuli pelbagai pertanyaan rutin pegawai berkenaan.
Tidak lama kemudian sebuah kereta bomba dan ambulans tiba. Paula menggambarkan lelaki yang dilihatnya kepada pegawai dan bertanyakan keadaan lelaki itu. Secara tiba-tiba, dia melihat pasukan perubatan menarik seseorang daripada kereta yang remuk itu dan mula memberikan bantuan.
Dan sepantas kilat, Paula tergamam.
“Betul ke apa yang kulihat ni. Eh, ya lah. Inilah lelaki yang terserempak dengan aku tadi ni. Macam mana pulak dia terbaring di sini,” soal Paula. Dia hampir tidak mengenali pakaian yang dipakai mangsa kerana berlumuran darah.
Salah seorang pegawai perubatan menanggalkan fon kepala yang dipakai dan memaklumkan Paula, mangsa mati serta merta kerana cedera parah.
Paula mula takut malah pegawai yang mengambil keterangannya turut kehilangan kata-kata. Dia kini percaya yang dia melihat roh lelaki berkenaan. Mungkinkah kematiannya yang serta merta itu menyebabkan ‘roh’ lelaki itu mempamerkan wajah keliru? Persoalan itulah yang masih melingkari benak hati Paula biarpun kejadian itu sudah hampir sedekad berlalu.
Sumber: Berita Harian
Oleh Hazirah Che Sab
No comments:
Post a Comment