Kerajaan baharu Indonesia akan merombak subsidi petrol dan diesel yang dianggap membebankan bajet negara sebelum hujung tahun ini, kata menteri ekonomi negara itu semalam.
Biarpun langkah itu dilihat tidak popular, namun kerajaan Indonesia perlu segera menangani masalah fiskal terbesar negara itu ekoran subsidi bahan api tersebut kini mencecah AS$23 bilion (RM75.6 bilion).
Pada awal bulan ini, penasihat ekonomi kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo yang mengangkat sumpah pada 20 Oktober lalu, Sofyan Djalil berkata, kerajaan baharu Indonesia bercadang menaikkan harga bahan api sebanyak 3,000 rupiah (81 sen).
Harga berkenaan mungkin akan dikuat kuasa seawal 1 November ini.
“Sebarang perubahan dasar akan dilakukan sebelum hujung tahun ini,” kata Sofyan selepas menghadiri mesyuarat menteri-menteri Kabinet semalam.
Bagaimanapun, Sofyan enggan mengulas lanjut mengenai subsidi minyak yang tidak sampai kepada kumpulan sasaran seperti mana yang dikehendaki oleh kerajaan.
Pada perkembangan sama, Menteri Kewangan, Bambang Brodjonegoro berkata, kerajaan Indonesia perlu memperkenalkan dasar baharu untuk mengekang kenaikan inflasi.
Namun demikian, menurutnya, satu bentuk bantuan akan diberikan kepada masyarakat yang terjejas teruk ekoran pengurangan subsidi itu.
Pada tahun lalu, harga petrol dan diesel meningkat sebanyak 44 peratus, namun bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengeluarkan arahan untuk tindak menaikkan harga kedua-dua bahan api tersebut pada tahun ini walaupun kedudukan fiskal semakin merosot.
No comments:
Post a Comment