Budak Maut Terjerut Tali Buaian




Seorang budak perempuan berusia lima tahun mati akibat terjerut tali buaian di rumah datuknya dekat Felda Lui Muda di sini kelmarin.
Peristiwa malang pukul 3.40 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Isma Umairah Radzuan sedang bermain buaian buatan sendiri seorang diri di dapur.
Ketika kejadian, mangsa hanya tinggal bersama bapa saudaranya yang berusia 21 tahun manakala datuk dan neneknya tiada di rumah.
Isma Umairah, pelajar Tadika Kemas Felda Lui Muda, dikatakan tinggal bersama datuknya kerana ibu bapanya bekerja di Seremban.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, kejadian disedari bapa saudara Isma Umairah yang ketika itu sedang menonton televisyen apabila kanak-kanak itu tiba-tiba senyap menyebabkan dia mula mencarinya.
“Ketika bapa saudaranya pergi ke dapur, dia ternampak mangsa dalam keadaan tergantung dengan lehernya terjerut pada tali buaian.
“Lelaki itu kemudian memotong tali buaian dan membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Felda Lui Muda di sini untuk mendapatkan rawatan, namun dia (Isma Umairah) disahkan sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi disini semalam.

No comments:

Post a Comment