Kisah Sekolah Agama Alami Kejadian Pelik


Cerita Seram Asrama Sekolah
Gambar Hiasan
Di sekolah, saya memegang jawatan yang agak tinggi dalam persatuan agama islam. Suatu hari saya dihantar untuk mengikuti kursus kepimpinan yang ditawarkan oleh jabatan agama negeri. Kami ditempatkan di sebuah asrama yang jauh dari orang iaitu di kawasan hutan tebal entah di mana saya kurang pasti. Malah, rumah2 kampung pun kami tak nampak di sekitar itu.

Walaupun begitu, ia sebuah sekolah agama yang mempunyai infrastruktur yang boleh dikatakan baik dengan bangunan sekolah dan asrama berdinding batu, ada kantin yang sederhana besar, tanah yang luas, padang (court) berlantai simen, padang bola sepak, surau, dan lain lain..

Kami datang dari pelbagai jenis sekolah. Tetapi, kebanyakan kami berasal dari sekolah biasa (bukan sekolah agama). Setahu saya, di kalangan kami hanya ada tak sampai 10 orang sahaja pelajar dari sekolah agama. Kami dikendalikan oleh guru-guru agama seluruh negeri, kalau tak silap saya.

Program ini boleh dikatakan berjalan dengan baik dan lancar. Namun, ada sesuatu yang membuatkan saya agak hairan dengan cara pengendalian kami. Kami semua dibahagikan mengikut kumpulan dan bercampur lelaki dan perempuan dalam kumpulan yang sama. Okla, bagi saya itu bukan masalah. Walaupun saya bukanlah berpendidikan agama yang tinggi seperti pelajar sekolah agama, tapi saya tahu, tak salah untuk belajar atau bekerja bersama lelaki dan perempuan asalkan dijaga batas pergaulan dan aurat.

Namun, yang menjadi titik permulaan kekonfiusan saya ialah apabila diadakan taklimat, kami semua dibiarkan duduk bercampur antara lelaki dan perempuan dengan bebas. Kerap kali saya lihat beberapa orang rakan sekursus saya yang duduk bersandar bahu antara lelaki dan perempuan. Malah, saya jadi rimas bila salah seorang peserta lelaki kumpulan saya mengiringkan badannya mengadap saya sambil tersengih-sengih. Hal saya dengan budak tu, tak perlu la saya ceritakan di sini.

Bukan itu sahaja, betapa ramai antara kami yang bertepuk bertampar sesame lelaki perempuan sambil mendengar taklimat. Memangla kami boleh dikatakan tidak terlalu bising, kerana masing2 lebih kerap memandang ke arah pemberi taklimat. Mata je kerap memandang mereka, tapi tangan tu tak reti dok diam. Cuit sana cuit sini sesama kami.

Yang hirannya, tak seorang pun antara guru agama yang berdiri di hadapan kami menegur perbuatan kami tu. Sehinggalah satu hari, seorang pelajar agama (lelaki) mengemukakan persoalan (yang sama bermain dalam fikiran saya sejak awal), kenapa kami dibiarkan bergurau senda tanpa batasan?

Mendengar sahaja persoalan itu, ustaz dan beberapa orang guru lain jadi marah. Saya dapat lihat berkerut geram wajah-wajah mereka. Sebahagian lagi, saya kurang pasti, tetapi kelihatan seperti mereka sependapat.

“Kamu semue ni kecil lagi! Bukannyer teruk sangat!!”

Hah? Kami semua “kecik” lagi??... eh, kami kan dah sekolah menengah. Saya sendiripun dah tingkatan 4 @ 5 ketika itu. Saya mula konfius. Bukan ke, kalau dah akil baligh, bermakna kami dah tak boleh bebas bergaul sembarangan? Tak boleh lagi bertepuk bertampar, tak boleh lagi bersentuhan lelaki dan perempuan dan dah tak boleh lagi saling jeling-menjeling (manja).

Selepas itu, berlaku beberapa pertengkaran kecil antara guru-guru tersebut dengan beberapa pelajar agama disitu. Akhirnya, mereka bangun meninggalkan sesi taklimat. Mungkin tanda protes kot. Kami semua terdiam. Guru-guru pula kelihatan sangat marah selepas mereka semua keluar. Sebenarnya, ramai juga saya dengar diantara kami yang tidak bersetuju dengan pandangan ustaz ustazah tu. Even, yang buat kes pun rasa, ustaz dan ustazah tak patut membiarkan kami bebas bergaul lelaki perempuan. Kami semua dah besar, semuanya dah akil baligh. Cuma masing-masing tengah miang dan seronok sangat dapat peluang begitu.

Sejak itu juga, saya dah tak nampak semua pelajar sekolah agama lelaki dan perempuan, turut serta dalam setiap program kecuali waktu makan dan beberapa kali waktu solat. Ustaz dan ustazah pun kelihatannya tidak menghiraukan mereka lagi.

Seperti biasa, bila dah nak masuk maghrib, kami semua akan bersiap2 mandi. Sambil-sambil itu, sempat juga antara kami yang bergurau senda lelaki dan perempuan, walaupun asrama kami dipisahkan oleh sebatang jalan raya yang agak luas. Pelajar lelaki pula, sering pasang radio kuat-kuat sehingga menyebabkan ramai pelajar perempuan menjerit meminta mereka perlahankan radio.

Suatu petang, masa sudah menghampiri waktu maghrib. Tetapi, dari jauh kami masih dapat mendengar suara radio berkumandang dengan pelbagai keletah dj nya. Pelbagai lagu masih dimainkan, tetapi kebanyakannya lagu-lagu lama (lagu sekitar tahun 70an dan awal 80an). Ini membuatkan ramai pelajar perempuan mengambil peluang menjerit ke arah asrama lelaki agar mereka segera tutup kerana tak lama lagi azan maghrib akan berkumandang. Tetapi pelajar-pelajar lelaki tetap degil membiarkan radio itu terus terpasang.

Bila azan bermula, pelajar perempuan bertambah marah kerana pelajar lelaki tidak menghormati azan. Tapi, bermati-matian pelajar lelaki kata mereka dah cuba tutup, tapi tak boleh. Lalu ramai pelajar perempuan jerit: TIPU!!...

Cerita Seram Asrama
Gambar Hiasan
Pelajar lelaki pula membalas: TAK! KAMI TAK TIPU!! Masa tu la jugak saya ternampak seorang pelajar lelaki mengangkat sebuah radio hitam yang besar (radio patern lama yang berbentuk petak memanjang dengan tangkai pemegang berwarna perak panjang dari sisi radio ke sisi yang satu lagi).

Lepas tu, ada pula pelajar perempuan yang jerit: “ALAH… MESTI RADIO TU PAKAI BATERI KAN? TUTUP AJE LA! TAK BAIK, MAIN2 WAKTU AZAN MACAM NI!!...”

Dibalas pula oleh sorang pelajar lelaki: “MANA ADA! KAMI DAH CUBA TUTUP. TAPI TAK MAU. DAN … KAMI DAH TANGGALKAN PUN BATERINYA!!!...” lalu pelajar itupun menunjukkan kepada kami bahagian bateri radio yang KOSONG!!!

Macam mana radio tu masih boleh berbunyi? Saya yakin bunyi radio itu datang dari radio yang ditunjukkan oleh pelajar lelaki itu. Tapi, macam mana boleh jadi macam ni??...

Tiba-tiba semua pelajar perempuan jadi takut. Masing2 ramai yang berpelukan. Ada juga yang menangis. Malah, ramai yang dari toilet berlari keluar walaupun mereka belum selesai lagi.

Dari jauh, saya dengar ada beberapa orang pelajar lelaki diminta untuk baca azan sekuat-kuatnya. Namun, dah 6 – 7 kali baca azan pun, radio tu masih tak mahu diam. Makin kuat dan jelas suara dj dan lagu yang dimainkan. Lama betul keadaan ini berlaku sehingga hari dah pun bertukar menjadi gelap.

Akhirnya, kami semua diperintahkan untuk terus bersiap pegi solat dan biarkan sahaja radio itu. Tapi, ramai yang masih takut. Nak ke bilik air amik wudhu’ pun takut. Keadaan menjadi sangat payah sebab semua pelajar perempuan takut untuk bergerak ke mana2. Sampai ustazah menjadi marah2 dengan keadaan itu.

Tiba-tiba, dari blok asrama lelaki itu, kami dengar suara azan di kumandang kan sekali lagi dengan suara yang agak tenang dan jelas. Ketika itulah juga, semakin lama suara radio menjadi semakin perlahan dan akhirnya hilang. Kami di blok asrama perempuan terkedu. Suara siapa? Eh… radio tu dah berhenti?...

Barulah, kali ini, semua pelajar lain dapat bergerak dan bersiap dengan lebih cepat. Mungkin, masing-masing dah kurang rasa takut. Namun, masing-masing masih bergerak dalam kumpulan yang besar, tidak seperti kebiasaannya.

Keesokan harinya, tersebarlah kisah bahawa macam-macam cara ustaz buat supaya radio itu berhenti berbunyi. Ustaz baca doa, suruh pelajar lelaki baca azan, suruh beberapa orang lagi baca yasin. Tapi, semua tu tak jalan. Sehinggalah tak lama kemudian, datang beberapa orang pelajar sekolah agama membacakan azan. Barulah suara radio itu berhenti berbunyi. Kami semua kehairanan…….

Sebenarnya, saya percaya ramai yang pasti tertanya-tanya, kenapa usaha ustaz-ustaz tak menjadi, tetapi usaha pelajar-pelajar tu yang menjadi? Bukankah ilmu para ustaz tu lebih tinggi daripada pelajar sekolah agama tu? Keadaan ini sebenarnya membuatkan kami semua semakin percaya bahawa pandangan pelajar sekolah agama itu lebih benar berbanding pandangan golongan ustaz dan ustazah, berkenaan apa yang mereka perselisihkan dulu.

Mungkin ALLAH nak tunjuk, siapakah yang berada di pihak yang benar dan pandangan siapa yang patut kami (semua para peserta) ikut. Kerana sejak itu, saya tak perasan ada tak pelajar lelaki dan perempuan yang buat perkara tak senonoh walaupun sekadar yang ringan. Malah, tiada lagi suasana bermanja-manjaan sesama lelaki dan perempuan. Ia terjadi sendiri tanpa ada sesiapa yang suruh kami berubah. Pun begitu, kami tetap baik seperti biasa. Malah, saya lihat sudah ramai yang bertegur sapa dengan pelajar-pelajar sekolah agama tu.

Sumber: Pengali Kubur

No comments:

Post a Comment