Ketika ditawarkan memasuki sekolah berasrama penuh, hati Zaliah sudah berbunga-bunga. Seronoknya tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Sudah lama dia menyimpan hasrat untuk memasuki asrama dan belajar berdikari di rantau orang.
Hari pertama masuk ke sekolah tersebut, Zaliah berasa tidak sedap hati. Pertama kali dalam hidupnya terasa demikian, namun dia tidak mengendahkannya. Mungkin kerana terlalu seronok, ujar Zaliah di dalam hati. Matanya meligas memandang bangunan asrama yang kelihatan agak usang. Menurut teman-temannya, sekolah itu dibina di kawasan bekas markas tentera Jepun. Pelbagai kisah misteri pernah dikaitkan dengan sekolah tersebut membuatkan Zaliah seram sejuk.
Suatu malam ketika semua penghuni asrama telah lena diulit mimpi, secara tiba-tiba Zaliah dikejutkan dengan suara orang berkawat di padang sekolah. Dia cuba untuk melelapkan mata, namun suara itu terlalu kuat hingga mengganggu tidurnya. Sambil memejamkan mata, Zaliah membebel-bebel tidak puas hati, mengharapkan suara itu lenyap. Tapi askar tentera Jepun suara itu tidak juga berhenti.
Sambil menggosok-gosok mata, Zaliah lantas bangun menuju tingkap yang menghala ke padang sekolah. “Siapalah yang pagi-pagi buta dah berkawat ni?” getusnya geram. Dengan perlahan dia membuka cermin tingkap.
Matanya yang layu terkebil-kebil memerhatikan suasana padang yang lengang. Eh, suara bukan main kuat. Tapi mana orangnya? Desis Zaliah di dalam hati. Puas dia mencari, namun hampa belaka. Suasana dingin tiba-tiba mencengkam malam. Zaliah mula berasa seram. Fikirannya mencari-cari alasan logik dari mana datangnya suara itu, namun dia buntu. Angin malam yang tiba-tiba menderu ke arahnya membuatkan Zaliah kalut. Dengan pantas jemarinya segera menutup tingkap di hadapannya.
Bila diamati suara itu, Zaliah dapat mendengar bait-bait ayat yang dituturkan. Namun dia gagal memahaminya kerana ia tidak dalam bahasa Melayu mahupun Inggeris, sebaliknya bahasa Jepun! Tidak menunggu lama, Zaliah bergegas ke katilnya. Sambil berselubung, dia cuba untuk melelapkan mata.
Apa yang menghairankannya, tidak ada seorang pun di antara rakan-rakannya yang terjaga. Walhal suara itu begitu kuat. Malisa, Wati, Amnah, semuanya seolah-olah telah dipukau. Belum sempat tidur lena, tiba-tiba tidurnya diganggu sekali lagi. Kedengaran jelas di cuping telinganya bunyi orang berjalan di luar dorm sambil mengheret rantai besi, seolah-olah mangsa tahanan yang telah dirantai kaki.
Hati Zaliah mula berdebar-debar. Fikirannya mula menerawang teringatkan kata-kata orang tentang sekolah itu. Sekolah yang bertapak di kawasan bekas markas Jepun itu dikatakan telah banyak kali ‘memakan’ mangsa, namun Zaliah tidak mengendahkan kata-kata mereka kerana terlalu ingin memasuki sekolah berasrama penuh.
Belum hilang debaran yang mencengkam dadanya, tiba-tiba Zaliah merasakan bunyi tapak kaki itu berhenti di hadapan pintu dormnya. Serentak itu kedengaran pintu dorm dibuka orang. Jelas di ruang mata Zaliah sesusuk tubuh besar setinggi pintu dorm berdiri di hadapan pintu. Tubuh Zaliah menggigil menahan rasa takut. Hampir-hampir dia terjerit tatkala sesusuk tubuh itu melangkah masuk ke dorm sambil mengheret rantai besi di kakinya.
Sambil berselubung, Zaliah dapat melihat rupa lembaga itu yang sungguh mengerikan. Matanya terjojol keluar, kulit tubuhnya yang terkoyak di sana sini dan baunya yang cukup hanyir membuatkan Zaliah hampir termuntah. Namun dia cuba bertahan. Mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan harapan lembaga itu tidak akan mengapa-apakannya.
Semakin lama sesusuk tubuh yang berpakaian tentera Inggeris lama itu semakin hampir dengan katilnya. Serta-merta bau busuk mula menyusuk hidung. Hatinya tambah berdebar apabila melihat lembaga itu cuba menyentuh Malisa yang tidur di sebelahnya. Dia cuba untuk bersuara untuk mengejutkan temannya itu, namun suaranya seolah-olah tersekat di kerongkong.
Zaliah menjadi benar-benar tidak berdaya. Badannya terasa lemah longlai. Syukurlah ketika itu hatinya masih dapat membaca ayat-ayat al-Quran. Berkali-kali lembaga itu cuba menyentuh Malisa, namun tidak berjaya hinggalah akhirnya ia hilang begitu saja. Manakala Zaliah pula tiba-tiba pengsan tidak sedarkan diri.
Keesokan paginya, kecoh satu sekolah apabila Zaliah didapati masih tidak sedar dari tidur. Dia terus dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Zaliah bagaimanapun telah sedarkan diri lewat petang itu dan dibawa pulang ke kampung untuk berubat secara tradisional.
Sumber: Majalah Mingguan Wanita Bilangan 1097
No comments:
Post a Comment