Lambaian orang tua janggut putih


Setiap kali turun memancing, mereka pasti berjumpa seorang tua berjanggut putih memakai topi lebar yang selalu digunakan petani menanam sayur. Orang tua itu mesti melambai tangan apabila berselisih dengan bot mereka, demikian cerita Sani kepada penulis di perkampungan nelayan utara Semenanjung setelah dapat menghidu misteri wujudnya seorang tua yang boleh bertukar rupa dan menghilangkan diri.

“Bukan itu saja, malah orang tua itu boleh berada dalam bot dan turut sama memancing, membuatkan kita semua terpukau dan hanya boleh melihat tetapi tak berdaya untuk menyapa,” cerita Sani sambil meyakinkan penulis dengan memanggil beberapa rakan pancing yang terbabit dengan peristiwa misteri berkenaan.

Rata-rata mereka memberi pandangan yang sama terhadap kewujudan orang tua berjanggut putih yang sentiasa berada di laut dengan sampan kayu dengan enjin 40 kuasa kuda. “Kami tak faham tindakan orang tua itu yang kadang-kadang sengaja lalu melintasi bot kami dengan melambai tangannya ke arah kami,” cerita Md Dom pula dan tidak menolak bahawa kewujudan orang tua itu ada kaitan dengan laut dan sekitarnya namun tidak diketahui apakah kaitan peristiwa berkenaan mala petaka buruk atau sebaliknya.

Ketika mendarat di sebuah perkampungan di Pulau Tinggi, Mersing baru-baru ini kami sempat bertanya penduduk pulau berkenaan mengenai misteri orang tua berjanggut putih itu yang sering dikaitkan dengan pelbagai jelmaan. Setiap kali muncul orang tua itu dengan melambaikan tangannya bagaikan satu isyarat menyuruh pulang kerana selepas beberapa jam pasti ribut akan datang. Apa pun misteri orang tua berjanggut putih itu masih terus diperkatakan malah orang tua itu terus berkeliaran di pulau berkenaan.

Atas desakan hati untuk bertemu dengan orang tua yang dikatakan sering menjadi misteri itu akhirnya penulis sempat menemuinya di sebuah rumah kecil di hujung kampung berkenaan dan sempat berbual dengannya.

“Atuk sendiri tidak tahu kenapa mereka menuduh perkara yang bukan-bukan sedangkan atuk tak ada melakukan kesalahan,” kata orang tua itu dengan nada sayu ketika ditemui penulis sebelum beliau meninggal dunia, kira-kira lima tahun lalu.

“Atuk memang sesekali turun ke laut memancing mencari lauk. Itu pun jaraknya tidak jauh. Lepas itu atuk pulang dan berkebun di darat. Tetapi atuk dituduh sentiasa berada di laut dan boleh bertukar rupa. Atuk tak pernah mengamalkan ilmu hitam,” beliau terhenti bercakap kerana menahan sebak lalu mengesat air mata yang bergenang di kelopak matanya.

Ternyata orang tua itu menjadi mangsa masyarakat setempat. Dalam hidupnya sentiasa berdepan kebencian masyarakat pulau itu walaupun pada hakikatnya beliau tidak wujud dengan wajah yang ditemui di laut. Malah beliau sendiri tidak tahu konon ada wajahnya yang kadang kala menakutkan mereka. Wajah hantu laut. Lalu pada satu musim penulis dan rakan pancingnya menerjah pelabuhan yang ditinggalkan oleh orang tua misteri itu. 

Pada kejauhan mata memandang kelihatan ada sampan orang tua misteri yang sesekali hilang dan muncul semula di permukaan laut namun hari ini sudah dilupakan terus oleh masyarakat pulau dan nelayan serta pemancing. Namun misteri terusik sesekali bila bertandang ke perairan Pulau Tinggi. Dalam ketenangan air lautnya berkisar semula cerita misteri orang tua berjanggut putih.

RENUNGAN

ALLAH menggalakkan kita berbaik-baik antara satu sama lain dan saling bertegur sapa serta sedia menasihati dengan cara yang baik. Bukan di tangan kita yang menentukan menghukum kerana Allah yang lebih berhak lagi berkuasa. Kepada-Nya saja kita berserah dan bermohon kebaikan-Nya.

Sumber : Nuri Angkasa 

No comments:

Post a Comment