Sejarah penubuhan WINGS bermula pada sekitar tahun 1985 di Sekolah Menengah Sri Ampang di Kuala Lumpur. Di situ empat orang anak muda yang masih menuntut bergabung tenaga membentuk sebuah pancaragam sekolah. Oleh kerana terdorong dan amat meminati muzik terutama irama Rock, mereka sepakat untuk mendendangkan lagu berentak Rock'N'Roll di sepanjang persembahan mereka. Ketika itu bermulah kelahiran WINGS walaupun kumpulan ini belum mempunyai nama.
Anggota asal WINGS ialah Awie, Jojet, Eddie dan Syam. Perpecahan melanda kumpulan ini apabila Jojet berhijrah ke kumpulan Gersang dan Syam menubuhkan kumpulan baru yang diberi nama Kumpulan CRK. Pada awal tahun 1987, Wings mendapat tawaran untuk merakamkan album dibawah label ASP dan nama WINGS digunakan sebagai nama kumpulan ini. Ilham penggunaan nama WINGS sebagai nama kumpulan dicetuskan Awie apabila orang ramai selalu menegurnya kerana lengannya yang berotot atau lebih tepat seperti 'sesayap' (wing). WINGS bertungkus-lumus menyiapkan album pertama mereka berjudul Belenggu Irama dengan bantuan dua anggota baru iaitu Eddie dan Black (merupakan bekas anggota asal Kumpulan Babylon) yang menggantikan tempat Jojet dan Jo selain Awie dan Syam selaku anggota asal. Pada masa itu, pengurus WINGS adalah Ali Bakar.
Ketika muzik rock mula mendapat tempat, kemunculan sebuah kumpulan seperti WINGS sememangnya menghangatkan arena muzik rock tanah air. WINGS tampil dengan kelainan tersendiri dengan muzik yang dibawakan mereka cukup mantap walaupum ini adalah album pertama.
Dengan susunan muzik yang baik dan vokal yang bertenaga serta dibantu penggubah terkenal seperti M.Nasir, J S Kevin, pertarungan pertama WINGS di persada seni tanah air menampakkan hasil apabila album ini mendapat sambutan menggalakkan. Walaupun mereka terpaksa berdepan dengan masalah iaitu lagu mereka tidak dibenar penyiarannya di radio dan TV oleh RTM, pencinta muzik rock tetap dapat merasai bahang 'Belenggu Irama'.
Lagu seperti 'Belenggu Irama', 'Intan Ku Kesepian' dan 'Peronda Jaket Biru' adalah antara lagu yang menjadi kegilaan remaja Malaysia ketika itu. Pihak RTM tidak memberi kelulusan penyiaran terhadap lagu WINGS atas alasan lirik, lagu dan latar belakang WINGS yang dikatakan keterlaluan dan tidak menepati syarat untuk disiarkan.
Halangan ini sedikit sebanyak menghantui diri mereka. Namun, berkat ketabahan dan sokongan rakan dan peminat yang berdiri teguh di belakang, WINGS berjaya menempuh segala dugaan dan cabaran. Album ini terjual lebih 150,000 unit.
Selepas itu, populariti WINGS terus meningkat. Konsert mereka sentiasa mendapat perhatian ramai dan rata-rata peminat amat terhibur dengan persembahan WINGS yang mantap dan mempunyai identiti tersendiri.
Tetapi, tidak berapa lama selepas itu pertukaran ahli berlaku dengan Sham yang sebelum ini bertindak sebagai pemain gitar menarik diri dan kekosongan ini digantikan Joe, seorang gitaris kidal belasan tahun yang sebelum itu anggota kumpulan rock Scandals. Kehadiran Joe menambahkan lagi kemantapan WINGS kerana beliau sungguh kreatif dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam permainan gitar.WINGS berjaya mencipta populariti sebaris kumpulan - kumpulan Rock terkemuka di Malaysia seperti Search, Iklim, Lefthanded & Xpdc.
Berikut secara ringkas sejarah anggota WINGS. Joe pernah manganggotai SCANDALS sebelum memasuki WINGS. Black [(Babylon]) keluar dari WINGS selepas album Teori Domino dikeluarkan dan digantikan dengan Jojet, bekas ahli GERSANG. Beliau kembali menjadi pemain dram WINGS pada tahun 1994 selepas Jojet pula keluar dari WINGS.
Sejarah pertukaran penyanyi utama WINGS cukup menarik. Awie yang sudah cukup sebati dan merupakan satu imej kumpulan muzik ini, tiba-tiba meninggalkan WINGS di kala populariti yang memuncak berikutan kejayaan album Bazooka Penaka. Dua tahun kemudian barulah pengganti Awie ditemui. Mel, penyanyi berbakat yang sudah lama menceburi bidang nyanyian secara tak langsung dipilih menjadi penyanyi utama WINGS dan album Orang Asing dihasilkan.
Bagaimanapun, jodoh Mel dengan WINGS tidak kekal lama. Tidak lama selepas itu, Mel keluar dari WINGS dan WINGS bernasib baik kerana tempat Mel digantikan Mus, bekas penyanyi utama MAY yang seangkatan dengan WINGS. Ura-ura yang Mus akan memasuki WINGS sudah lama diperkatakan selepas Awie menarik diri. Oleh itu, selepas Mel dan WINGS tidak serasi, Mus segera menerima tawaran WINGS untuk bersama tiga lagi anggota WINGS meneruskan misi perjuangan mereka di bidang seni tanah air.
Sebanyak enam buah album termasuk satu album kompilasi dihasilkan dalam tempoh pembabitan Mus bersama WINGS dan vokal Mus makin serasi dengan muzik WINGS.Album terakhir Mus bersama WINGS adalah Mr. Barbarik. Mus kemudian kembali ke kumpulan asalnya, MAY dan tempatnya digantikan semula penyanyi asal WINGS, Awie.
Dengan penggabungan kembali Awie sebuah album terhasil, Naga Kramat. Kini WINGS masih diterima peminat yang merindukan zaman kegemilangan mereka.
Ironinya, walaupun WINGS sudah melalui pelbagai rintangan dan cabaran, terutama sekali apabila vokalis utama mereka Awie menarik diri dan bergerak secara solo, namun WINGS masih mampu mempertahankan reputasi mereka dalam industri muzik rock tanah air.
Mereka tidak cepat melatah untuk terus membubarkan WINGS, lantas mengambil inisiatif dengan menerbitkan album Wings & Superfriends 1 & 2, yang menggabungkan beberapa artis rock popular tanah air.
Ini membuktikkan bagi mewujudkan sebuah kumpulan muzik, mereka tidak seharusnya bergantung kepada kredibiliti penyanyi semata-mata tetapi perlu mengambil inisiatif bagi memastikan WINGS terus bertahan dan kekal sebagai sebuah kumpulan rock paling berpengaruh di Malaysia.
No comments:
Post a Comment