Derita Dipaksa Makan Najis Anak



KISAH yang diceritakan oleh Zainah Mamat,40, mengisahkan pengorbanan seorang ibu yang bersusah payah melahirkan dan membesarkan anaknya langsung tidak dihargai sebaliknya diperlakukan seperti binatang. Zainah tinggal berjiran dengan keluarga ini menceritakan kisah ini di utara tanah air untuk tatapan pembaca semoga dapat dijadikan pengajaran dan iktibar.

PRANGGG!!!
Bunyi gelas pecah menyentak telinga Ruzila (bukan nama sebenar). Tidurnya terganggu oleh bunyi itu. Segera dia bangun dan berjalan ke dapur. Dia sudah dapat mengagak apa yang berlaku. Setibanya di dapur, perasaan marahnya kian menyinga apabila melihat ibunya, Halimah sedang terbongkok-bongkok mengemaskan serpihan kaca di atas lantai.

"Apa ni? Pecah lagi! Asyik pecah je barang-barang kat rumah ni. Kalau asyik nak punahkan harta benda saya, toksah duduk kat rumah saya lagi!" Ruzila terus berlalu setelah memarahi ibunya. Air mata Halimah mengalir laju mendengar herdikan Ruzila. Sepatah pun dia tidak menja wab. Sambil tangannya mengutip serpihan gelas yang pecah, sesekali dia menyeka air mata dengan lengannya. Sedih dan pilu hatinya apabila diperlakukan begitu oleh anak sendiri.

Itu bukan kali pertama dia diherdik sebegitu rupa oleh Ruzila. Sejak tinggal dengan Ruzila tujuh tahun lalu, Halimah sering makan hati dengan perlakuan anak bongsunya itu. Bukan setakat diherdik, malah Halimah turut dimaki hamun oleh Ruzila.

"Jika Razak masih hidup, sudah tentu nasib aku tidak begini," Halimah berkata-kata sendirian mengenangkan arwah suaminya yang telah meninggal dunia hampir 10 tahun yang lalu. Kenangan lama mula mengusik kotak fikiran Halimah. Dia masih ingat, perkahwinannya dengan Razak yang disemai atas dasar cinta dipenuhi dengan kebahagiaan apatah lagi apabila mereka dikumiakan tiga orang cahaya mata, seorang lelaki dan dua perempuan.

Sayang sekali, anak sulungnya bernama Ismail meninggal dunia ketika berusia 11 tahun kerana lemas selepas terjatuh ke dalam sungai sewaktu pergi menjala ikan.Tinggallah dua orang anaknya iaitu Maznah dan Ruzila yang berbeza usia tiga tahun. Keduanya dijaga dan ditatang bagai minyak yang penuh oleh Halimah dan Razak.

Ketika berusia 23 tahun, Maznah berkahwin dengan Hamdan, jejaka pilihannya yang bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang elektronik. Selepas berkahwin, Maznah telah mengikut Hamdan duduk di bandar tidak jauh dari kampung mereka.

Tiga tahun kemudian, Ruzila pula menamatkan zaman bujangnya apabila mendirikan rumahtangga dengan Zaidi, seorang pemandu lori. Seperti kakaknya, Ruzila juga keluar dari rumah mengikut suaminya tinggal di rumah sewa mereka tidak jauh dari rumah orang tuanya.Apa yang Halimah dan Razak kesalkan, setelah berkahwin, Maznah mahupun Ruzita terlalu jarang datang melawat mereka. Malah, Maznah hanya datang sebanyak dua kali pada tahun pertama perkahwinan mereka dan selepas itu langsung tidak lagi muncul-muncul.

"Semuanya bermula apabila Razak meninggal dunia. Ketika itulah Hamdan, suami Maznah mula membuat angkara," kata Zainah sewaktu menceritakan kisah hidup Halimah.Masih merah kubur bapa mertuanya, Hamdan bersama Maznah telah datang ke rumah Halimah lalu menghalau Halimah dengan mengatakan rumah tersebut sudah menjadi miliknya. Terkejut dengan tindakan menantunya itu, Halimah masih mempertahankan rumah pusaka tersebut kerana seingatnya, dia dan arwah suaminya tidak pernah menukar hak milik rumah tersebut kepada sesiapa termasuk anak menantu mereka.

Terbongkar rahsia rupanya Hamdan telah menipu Razak semasa hayatnya supaya bapa mertuanya menukar hak milik rumah tersebut ke atas namanya dengan meminta Razak menurunkan cap jari kononnya hanyalah surat sokongan untuk mendapatkan pinjaman kewangan daripada majikannya.Walau Halimah merayu dan menangis supaya tidak diperlakukan sedemikian rupa, namun Hamdan sedikitpun tidak menghiraukan permintaan ibu mertuanya itu. Halimah merayu pula kepada Maznah namun anak yang pernah menumpang dalam perutnya selama sembilan bulan itu, langsung tidak mempertahankan ibunya.

Halimah tidak ada arah tuju, dia terpaksa pergi ke rumah Ruzila. Hanya Ruzilah tempat dia mengadu dan bertumpang teduh.Kedatangan Halimah disambut baik oleh Ruzila. Namun, keadaan itu tidak bertahan lama. Perasaan iri hati mula bersarang dalam diri Ruzila apabila mendapat tahu kakaknya mendapat hak milik penuh harta pusaka peninggalan ayahnya sedangkan dia tidak mendapat sesen pun.
Walaupun sudah berulang kali dijelaskan oleh Halimah bahawa Hamdan dan Maznah telah menipu arwah ayahnya, rasa percaya Ruzila semakin hari semakin tipis tambahan pula apabila dia mendapat cerita yang berlainan dari Maznah.

Maznah memberitahu kepada Ruzila bahawa arwah ayah mereka yang telah menukarkan hak milik sepenuhnya tanah itu kepada Hamdan dan menafikan telah menipu arwah ayahnya seperti yang diceritakan oleh Halimah.Ini membuatkan perasaan iri hati Halimah bertukar menjadi sakit hati, marah dan dendam dan menganggap ibunya pilih kasih dan melebihkan Maznah daripadanya. Ekoran daripada itu, Ruzila mula berubah sikap. Dia tidak lagi mesra malah sering memarahi Halimah.

Sebagai ibu, adakalanya Halimah ada menegur Ruzila tentang keadaan rumahtangganya. Pernah Halimah menasihatkan Ruzila agar menyiasat tentang suaminya, Zaidi yang selalunya hanya pulang ke rumah sekali atau dua kali seminggu.

"Mak tahu kerja Zaidi sebagai pemandu lori, dia kena pergi tempat yang jauh-jauh. Tapi, kau janganlah percaya bulat-bulat macam tu aje. Mak tak mahu kau kena tipu," nasihat Halimah lembut. 
Namun, nasihat itu bukannya diterima sebaliknya menambahkan lagi amarah Ruzila terhadap ibunya.
"Mak jangan nak masuk campur dalam rumahtangga saya. Saya bagi mak menumpang di rumah ni pun, dah cukup bagus," balas Ruzila.

Halimah hanya terkedu mendengar kata-kata Ruzila. Perlahan-lahan dia berlalu ke dapur. Sambil itu, air matanya sudah berjuraian di pipi. Dia tidak sangka sikap Ruzila jauh berubah. Dia tidak lagi dilayan selayaknya seperti seorang ibu. Namun, kerana sudah tiada tempat lain yang hendak dituju, terpaksalah Halimah terus menetap di rumah itu dan hanya menelan pahit segala perbuatan dan kata-kata Ruzila.

Semakin hari, kesihatan Halimah makin terganggu. Dia sering pening dan badannya lemah tidak bermaya. Adakalanya, Halimah langsung tidak larat untuk bangun.Dalam keadaannya sedemikian, Halimah amat mengharapkan bantuan Ruzila. Jika sebelum ini, Halimah menguruskan sendiri keperluannya seperti memasak dan membasuh pakaiannya. Tetapi, kini dia tidak mampu lagi untuk melakukannya.

"Mak nak makan, pergi ambik sendiri. Saya tak ada masa nak jaga mak. Tak nampak saya sibuk dengan anak saya?!" Marah Ruzila apabila Halimah meminta bantuannya untuk mengambilkan makanan kerana sejak pagi, perutnya tidak berisi walaupun setitik air.

Sikap Ruzila tidak berubah walaupun dengan keadaan ibunya yang sedang sakit itu. Sedikitpun tidak timbul rasa kasihan di hatinya apatah lagi untuk membantu ibu kandung sendiri. Perasaan marah dan dendam terhadap ibunya lebih menguasai diri Ruzila. Dia benci melihat Halimah!

Sambil menangis, perlahan-lahan Halimah mengesot ke dapur. Sampai di dapur, yang tinggal hanyalah kerak nasi di dalam periuk. Oleh kerana terlalu lapar, Halimah makan juga kerak nasi tersebut digaul dengan sedikit garam. Pilu hatinya tidak terkata. Sambil menyuap, air matanya terus berguguran mengenangkan sikap kedua-dua anak yang sebelum ini susah payah dibesarkannya.

Suatu hari, tiba-tiba Halimah jatuh pengsan sewaktu mahu mengambil air. Dengan bantuan seorang jiran yang mempunyai kenderaan, Halimah di bawa ke hospital. Hasil pemeriksaan doktor, Halimah disahkan menghidap angin ahmar (stroke). Sebelah kanan badannya lumpuh dan mulutnya menjadi herot.

Sejak itu, Halimah hanya terlantar, tidak dapat bangun atau melakukan sebarang kerja. Ruzila pula sejak ibunya disahkan menghidap stroke, sikapnya masih tidak berubah. Malah, dia menganggap Halimah bagai satu beban.Walaupun doktor ada memberi tarikh temujanji untuk rawatan Halimah, tetapi Ruzila tidak pernah membawa ibunya mendapatkan rawatan kerana bagi Ruzila, itu hanya akan
menghabiskan wang ringgitnya. Lagipun, ibunya sudah tua, hanya menunggu masa untuk dikuburkan! Begitulah dalam fikiran Ruzila.

Kerana itu, dia tidak begitu menghiraukan ibunya yang terlantar. Dua atau tiga kali sehari, barulah dia memandikan Halimah. Itupun sekadar mencurahkan air ke badan. Makan minum pun, selalunya Ruzila memberi sisa makanan iaitu makanan yang tidak habis dimakan oleh dia dan anak-anak-nya. Itupun, dia menyuruh Halimah menyuap sendiri makanan tersebut.

Enam bulan selepas diserang angin ahmar, keadaan Halimah semakin teruk hingga dia tidak lagi berdaya untuk mengangkat tangannya. Wajah-nya cengkung dan badannya kurus kering, hanya tinggal kulit yang membalut tulang.

Suatu hari, Halimah cuba memanggil Ruzila. Halimah cuba memberitahu kainnya telah penuh dengan najis. Ruzila pula ketika itu sedang marah-marah kerana anak bongsunya telah menumpahkan air di atas kerusi. Keadaan ketika itu agak bising dengan suara anak Ruzila yang menangis kerana dipukul ibunya ditambah pula dengan suara Ruzila yang sedang membebel.

"Apa kau nak ha? Tak nampak aku tengah sibuk ni? Tak habis-habis menyusahkan aku!" bentak Ruzila apabila mendengar suara Halimah bising memanggilnya.Dengan perasaan marah, Ruzila meluru ke arah Halimah. Dia tahu kain Halimah sudah dipenuhi najis kerana baunya sudah memenuhi ruang udara tempat Halimah terlantar. Ruzila lantas merentap kain sarung yang dipakai Halimah hingga tergolek orang tua itu dibuatnya.

"Kau memang menyusahkan aku. Ni, najis kau pun aku kena uruskan. Kau ingat aku ni apa hah! Nah! Kau makan najis kau ni!!" Ruzila bagai orang gila. Dia terus menyumbat dan melumurkan kain berisi najis itu ke mulut Halimah. Sambil itu, dia menjerit memaki hamun Halimah. Ruzila lupa bahawa waiuta tua berusia awal 60-an yang sedang diperlakukan sedemikian rupa adalah ibu kandungnya sendiri. Ibu yang pernah mengandungkan, melahirkan dan membesarkannya. Tergamak Ruzila memberi ibunya makan najis!

Halimah tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya menangis tersedu-sedu. Mulut dan wajahnya sudah berlumuran dengan najis. Tidak dia sangka Ruzila sangggup bertindak hingga ke peringkat itu. Peristiwa itu tidak berakhir di situ. Sejak kejadian itu, acapkali Ruzila memberi ibunya makan najis terutama sewaktu dia sedang marah. Bukan hanya najis ibunya bahkan, adakalanya Ruzila turut memberi ibunya makan najisnya sendiri. Badan Halimah pula dipukul dan ditendang.

Namun, Ruzila cukup pandai berlakon di hadapan orang. Sekali sekala apabila jiran datang melawat Halimah, Ruzila berlagak seolah-olah dia amat mengambil berat keadaan ibunya. Dia mengusap, membelai malah adakalanya mengelap dengan kain basah badan ibunya.

"Jiran-jiran tak tahu sifat sebenar Ruzila terhadap ibunya. Apabila orang datang melawat, Ruzila bersikap seolah-olah dia amat sayang dan sedih dengan keadaan ibunya yang sakit," kata Zainah menceritakan sikap pura-pura Ruzila.

Layanan buruk Ruzila ditambah pula dengan keadaan kesihatan Halimah yang kian hari kian buruk, Halimah akhirnya meninggal dunia selepas lapan bulan diserang angin ahmar. Kematian ibunya bukan menyedihkan sebaliknya menggembirakan Ruzita kerana dia menganggap, tidak ada lagi beban yang perlu ditanggung dalam hidupnya selama hampir sepuluh tahun ibunya menetap bersamanya.

Namun, kuasa Tuhan mengatasi segala-galanya. Setahun selepas kematian ibunya, suatu hari Ruzila tiba-tiba jatuh terjelepuk di bilik air. Kali ini giliran dia diserang angin ahmar, penyakit yang sama seperti ibunya. Malah, penyakit yang menyerang Ruzila membuatkan dia terlantar sakit teruk dalam waktu yang singkat.

"Mulutnya juga herot hingga butir kata-katanya langsung tidak difahami. Lebih menyedihkan, suaminya lari ikut perempuan lain tiga bulan selepas dia jatuh sakit," cerita Zainah.
Selama waktu sakit itu, segala makan minum dan keperluan Ruzila diuruskan oleh kedua anaknya iaitu Ruhaila,17, dan Ruzitah,14. Hampir setahun menanggung derita seperti ibunya, Ruzila akhirnya meninggal dunia dalam usia yang masih muda iaitu 42 tahun.

"Keadaannya sewaktu nazak amat memilukan. Mulutnya terjerit-jerit tapi suara tidak keluar. Badannya pula terhinggut-hinggut menahan kesakitan. Nafasnya tersekat-sekat seperti sukar hendak keluar. Malah, dia menghembuskan nafas terakhir dengan mata yang terbuka," kata Zainah yang menyaksikan sendiri keadaan Ruzila sewaktu menghembuskan nafas terakhir.
"Mungkin itu balasan Allah ketika di dunia atas sifat kejamnya terhadap ibu kandungnya sendiri. Kami pun pada mulanya tak tahu perlakuan sebenarnya itu. Sewaktu dia sakit, anaknya pernah bercerita pada saya tentang sikap ibunya ketika melayan arwah neneknya dulu. Saya terkejut apabila diberitahu bahawa Ruzila sering memberi ibunya makan najis. Tak saya sangka hingga begitu sekali ibunya diperlakukan. Memang kejam!" Ujar Zainah menggeleng kepala bila mengenang kembali peristiwa tersebut.

Sumber : Majalah Variasi Jun 2004

No comments:

Post a Comment