LAGENDA ROCK MALAYSIA


KUMPULAN MAY



Kumpulan MAY ditubuhkan pada 1986 oleh 4 orang anak muda daripada kampung Manjoi, Ipoh, Perak yang mengikuti langkah SYJ dengan menubuhkan sebuah kumpulan muzik aliran keras. Nama MAY diambil sempena pangkal huruf nama timang-timangan keempat-empat mereka iaitu 'M' bagi nama Mus (Mustaffa Din) dan Man (Sharip), 'A' bagi Abu (Nasir) dan 'Y' bagi Yus (Mohktar).

Album pertama May diterbitkan sendiri mereka pada tahun 1987 berjudul 'Dilema'. Sebelum 'Dilema', May ada merakamkan sebuah album mini 'Juara Juara Rock' yang mengabdikan enam lagu. Lagu popular bagi album tersebut ialah 'Derita Bangsa', 'Bayangan Hidup' dan Sketsa Sebuah Cinta'. Bagi album 'Dilema', lagu hits adalah 'Ku Dalam Dilema', 'Sketsa Sebuah Cinta' (lagu yang diambil dari Juara Juara Rock) dan 'Keadilan'.

Album kedua May yang berjudul 'Hakikat' adalah album yang menaikkan nama May. Album ini berjaya dijual sebanyak 200,000 unit. Lagu-lagu seperti 'Sendiri', Cintamu Mekar Dihati', 'Dari Kacamata' dan 'Hakikat Perjuangan' menjadi siulan anak-anak muda ketika itu. Lagu 'Sendiri' juga telah berjaya memasuki pertandingan akhir dalam Muzik-Muzik. Kumpulan May juga pernah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Battle Of The Band pada 1987, dan Mus berjaya meraih Vokal terbaik pada pertandingan itu.

'Rahsia' adalah nama album MAY yang ketiga. Ia diterbitkan pada tahun 1990. Lagu hits mereka ketika itu adalah 'Gadis Bertudung Putih' dan 'Pahlawan Mimpi'. Lagu lagu heavy mereka dalam album ini seperti 'Pahlawan Mimpi', 'Rahsia Kota' dan 'Black Area' amat diminati ramai.

Selepas album ketiga, Rahsia, MAY. meninggalkan Syarikat Rakaman Warnada dan menyertai syarikat rakaman yang baru, Syarikat Muzik Antares. MAY. menghasilkan album keempat berjudul Strategi bersama Music Antares pada tahun 1991. Album Strategi diterbitkan oleh MAY. dan Adeeb Abdullah selaku penerbit eksekutif, manakala Nan (Saturnine) bertindak sebagai penolong penerbit.
Lagu-lagu dari album Strategi antaranya Abadi, Empat Sudut Berdiri & Sendiri Untuk Kemana. Album Strategi kurang mendapat sambutan seperti album Hakikat & Rahsia. Lagu hits adalah lagu 'Strategi' dan 'Abadi'. Album ini juga menampilkan satu lagu ala trash yang berjudul 'A.L.A.M' (Aku Lahir Antara Mereka).

Kumpulan MAY berpecah selepas kegagalan album keempat mereka tersebut.  Mus menubuhkan kumpulan Strangers bersama Nan (ex-Saturnine - guitar), Bad (ex-Handy Black - Bass) & Black (ex-Wings - drum). Kumpulan Strangers sempat menghasilkan sebuah album bertajuk Strangers pada tahun 1992. Lagu-lagu dari album Stangers seperti Satu Pengertian, Mahligai Impian & Bukit Sunyi. Album terbitan Warnada itu merupakan album pertama & terakhir Strangers sebelum berpecah.

Manakala anggota kumpulan MAY. yang lain berjaya mendapatkan bekas vokalis Rusty Blades, saudara J Yantzen sebagai vokalis baru MAY.

Bersama Yantzen, kumpulan MAY. menghasilkan album Zeit Geist pada tahun 1992. Album terbitan syarikat rakaman SRC dengan Allahyarham Samad Mean (ex-guitarist Lefthanded) bertindak sebagai penerbit album itu menampilkan irama heavy metal. Album tersebut mengembalikan era kegemilangan kumpulan MAY. Album tersebut mendapat sambutan hebat dan berjaya dijual melebihi 100,000 unit. Kumpulan MAY. juga kembali mendapat undangan mengadakan konsert live di tapak pesta, ekspo & konsert bergerak.

Berikutan kejayaan album Zeit Geist, kumpulan MAY. yang masih mengekalkan Yantzen sebagai penyanyi utama, muncul dengan album ke-6 mereka, Wira Cyborg pada tahun 1994. Album Wira Cyborg masih mengekalkan Samad Mean selaku penerbit dan diterbitkan oleh Syarikat Suria Record. Lagu-lagu popular dari album Wira Cyborg adalah Suci & Hasrat Cinta & Tuhan.

Album Wira Cyborg turut mendapat sambutan baik dari peminat. Album tersebut berjaya dijual melebihi 100,000 unit.  Selepas album Wira Cyborg, kumpulan MAY. sempat merakamkan semula lagu-lagu popular mereka dari album terdahulu disamping lagu-lagu baru. Album yang diberi judul Layar dipasarkan oleh Suria Rekod pada tahun 1995, walaupun kumpulan MAY. telah berhijrah ke Syarikat BMG pada ketika itu. Album Layar diterbitkan oleh saudara Samad Mean. Album Layar mengandungi lima lagu hits MAY. yang dirakamkan semula dan dinyayikan oleh Yantzen dan lima lagu baru yang belum dirakamkan seperti Layar, Membantah Kata, Dimana Harga Dirimu, Jauh Rasanya dan Arca Kehidupan.

Pada tahun 1995 kumpulan MAY. telah menghasilkan album studio ke tujuh mereka, Ideologi bersama Syarikat Rakaman BMG Music. Album yang diterbitkan oleh Samad Mean itu masih mengekalkan rentak hard rock di sulami dengan lagu slow rock. Antara lagu-lagu menarik dalam album Ideologi adalah Janji, Ikhlas, Trajis Impi dan Cinta Yang Tersia. Album Ideologi tidak mendapat sambutan sehebat album Zeit Geist dan Wira Cyborg walaupun dari segi kualiti lagu lebih baik dari album terdahulu.

Selepas album Ideologi, Yantzen telah mengundurkan diri dari kumpulan MAY. Kumpulan MAY. terpaksa menguji penyanyi baru untuk mengggantikan tempat Yantzen. Akhirnya bekas penyanyi kumpulan Lipanbara, Oney dipilih sebagai penyanyi utama MAY.

Bersama Oney, kumpulan MAY telah menghasilkan sebuah album baru, Penaklukan pada tahun 1996. Album yang diterbitkan oleh saudara Salman Shariff itu mengandungi lagu hit Jemu. Pada tahun 1997 kumpulan MAY. bersama Oney merakamkan semula lagu-lagu 60-an yang diberi nafas rock disamping 2 lagu baru.

Pada tahun 2003,  MAY mengumumkan tentang album terbaru mereka 'Sinar' dan Mus kembali menjadi vokalis utama mereka. Album 'Sinar' adalah album yang dinanti nantikan peminat setia MAY kerana MAY telah 'menghilang' selama lima tahun. Album ini dapat sambutan hangat dari peminat muzik rock tempatan. Lagu hits dalam album ini ialah 'Sinar', 'Mai Pen Rai', Ketat & Sendat' dan 'Jiwa Karat'. Lagu 'Sinar' ciptaan Mus telah berjaya memasuki pertandingan akhir Muzik-Muzik pada tahun itu. Album 'Sinar' ini juga telah dinobatkan sebagai 'Album Hard Rock Terbaik 2004' Anugerah Industri Muzik (AIM).

Dengan kejayaan 'Sinar', MAY telah menghasilkan sebuah lagi album pada tahun 2005. Album yang bergelar 'Otai Jamm' ini adalah album special buat peminat setia MAY. Ini adalah kerana MAY telah merecord kembali lagu lagu lama mereka seperti 'Hakikat Perjuangan', 'Dari Kacamata', 'Rahsia Kota' & Sendiri dengan muzik yang terkini tetapi tidak hilang dari identiti sebenar MAY. Ada satu lagu baru dalam album ini iaitu 'Dalam'. Album ini juga telah merangkul 'Album Hard Rock Terbaik 2005' Anugerah Industri Muzik (AIM).

Otai Jamm 2 diterbitkan juga pada tahun 2006. Menariknya album ini ialah Mus telah menyanyikan semula lagu lagu lama MAY yang dinyanyikan oleh Yantzen dan Oney. Antara lagu lagunya ialah 'Taklukan', 'Senjata Gila', 'Resah' dan 'Jemu'. Man selaku drummer juga telah menyanyikan satu lagu 'Bergegar Segunung Rindu'. Ada dua lagu baru dalam album tersebut iaitu 'Hiasan Kalbu' dan juga 'Riwayat Mandolin'.

Rock Klasik diterbitkan pada tahun 2008 adalah album seterusnya dari MAY. Album ini adalah album 'cover version' yang dimana MAY telah memberi penghargaan dan penghormatan kepada kumpulan kumpulan rock yang pernah mewarnai muzik rock tanahair. MAY telah merakamkan kembali lagu lagu popular yang pernah didendangkan oleh kumpulan rock lain yang tak kurang hebatnya seperti Rusty Blade, Bloodshed, Sofea, Medicine, Kris, Mega, Junction, Masa Scarecrow dan juga Olan. Menariknya album ini MAY telah mengundang kembali Yantzen dan juga Oney untuk terlibat sama dalam projek album tribute ini. Walaupun MAY merakamkan kembali lagu lama yang popular, ia tetap diberi sentuhan MAY yang tersendiri. Lagu baru MAY yang terdapat dalam album ini berjudul 'Pendirian' dimana Mus berganding suara bersama Yantzen dan Oney.  

No comments:

Post a Comment