Misteri Suara Anak Kecil Di Pejabat


Gambar Hiasan
Di sini saya ingin menceritakan mengenai pengalaman yang saya alami hingga sekarang. Cerita ini taklah seram sangat. Cuma hanya ingin berkongsi dengan anda sahaja. Saya sudah dua tahun bekerja di sebuah pejabat di kawasan Raffles Place. Saya tidak terkena gangguan. Cuma saya menyedari sahaja bahawa ada makhluk halus lain yang ada bersama saya di dalam pejabat saya. 

Saya selalu tiba di pejabat sekitar jam 6.30 pagi. Saya suka datang awal kerana ada hal-hal urusan kerja yang tidak boleh saya buat semasa pekerja lain ada di dalam pejabat. Pada waktu sedemikian, suasana di kawasan Raffles Place sememangnya masih gelap dan belum ramai lagi pekerja di pejabat. Pejabat saya pula terletak di tingkat sebelas dan agak sunyi dan malap. Kerana sudah terbiasa dengan keadaan sedemikian, saya tidak terfikir apa-apa. 

Pada bulan pertama saya mula bekerja, tidak ada apa-apa masalah, gangguan ataupun kejadian aneh. Bulan berikutnya, perkara aneh mula bermula. Setibanya saya di pejabat, saya menghidupkan lampu di bilik mesyuarat sahaja. 

Saya biarkan saja kawasan meja saya gelap kerana saya senang membuat kerja di dalam keadaan gelap dan sunyi. Senang untuk saya menumpukan konsentrasi. Tidak ada orang yang mengganggu. 

Sedang khusyuk membuat kerja di depan komputer, tiba-tiba terdengar seperti seseorang sedang menggunakan komputer juga. Kibod komputer dihentak-hentak. Bunyinya agak jelas. Saya pun tidak menghiraukannya. Selepas itu terdengar pula seperti bunyi seseorang sedang bermain-main dengan langsir plastik yang disangkut di tingkap pejabat.

Gambar Hiasan
Saya pun buat tak endah. Saya masih teruskan membuat kerja saya. Saya teringat pesan orang tua-tua. Buat bodoh saja. Kita tak kacau dia, dia tak kacau kita. Semakin lama, semakin kuat bunyinya. Tergerak hati ingin menghidupkan lampu. Tapi saya lupakan sahaja. Saya meneruskan kerja saya. 

Tiba-tiba terdengar suara kanak-kanak ketawa seperti kesukaan sambil berbisik-bisik di antara satu sama lain. Berdiri bulu roma saya. Tetapi saya tetap tergerak hati ingin melihat apa sebenarnya yang membuat bising. Bila saya bangun saja dari kerusi saya untuk menuju ke ruang lain, bunyi itu hilang. Apabila saya menjenguk, tidak ada apa-apa pun. 

Apabila saya pulang ke meja saya, terdengar bunyi budak ketawa lagi. Di dalam gelap ditemani lampu yang datang dari bilik mesyuarat, saya ternampak dua sosok bayang hitam. Ia seperti tubuh kanak-kanak kecil di belakang sebuah tembok di dalam pejabat saya. Wajah mereka kurang jelas. Entah macamana, tiba-tiba saya memberi salam dan berkata, “Kau nak main, mainlah. Jangan ganggu aku bekerja. Aku datang sini hendak mencari rezeki.” 

Selepas itu saya pulang ke meja. Terasa juga seperti ada yang melihat tetapi saya buat bodoh saja. Pernah seorang kawan saya, Yana, datang ke pejabat saya untuk menemani saya bekerja. Dia berkata, “Babe, pejabat kau ni ada budak-budak eh? Aku tengok mereka bermain-main di belakang tu.” Kawan saya ni boleh melihat apa yang kita tak nampak. 

Saya sudah terbiasa dengan perkara ini semua. Saya pun menjawab kawan saya, “SShhh... Biarlah mereka hendak buat apa di belakang tu. Asalkan tak ganggu aku sudah...” Kawan saya Yana bersuara lagi, “Aiii??? Main jenguk-jenguk pulak???” “Mereka ada di mana sekarang?” saya bertanya pada Yana. Yana pun menjawab, “Tu... Belakang tempat bos kau duduk tu...” 

Selepas mendengar apa yang Yana katakan, saya hanya tersenyum. Hingga ke hari ini, masih kedengaran bunyi-bunyian yang aneh itu walaupun di waktu petang, bermula pukul 12 tengahri jika tiada orang.

No comments:

Post a Comment