Gambar Hiasan |
Apa lagi Aki Sahak sendiri yang menceritakan tentang hubungan saya dengan Pak Tua Mahat di sebelah emak, dan Tok Aji di sebelah ayah. Memanglah benar Pak Tua Mahat itu abang emak saya yang tua, manakala Tok Aji itu ialah tok aki saya iaitu ayah kepada ayah saya. Perkara keturunan bukanlah perkara yang hendak disebut-sebut selalu, tetapi entah mengapa Aki Sahak selalu saja mengaitkan saya dengan Pak Tua Mahat sedangkan dia juga pernah berguru dengan Pak Tua Mahat saya itu. Sekarang mereka berdua sudah lama meninggal dunia.
Sebab itulah saya mengambi keputusan untuk berpindah saja dari situ, sama ada balik ke kampung atau pun bertukar ke kampung isteri saya. Tetapi permohonan saya mahu bertukar itu masih belum diputuskan oleh pihak atasan. Apabila saya beritahu kepada Aki Sahak mengenai cadangan saya mahu berpindah itu, dia seolah-olah berat mahu melepaskan, tetapi dia tidaklah menghalang keputusan tersebut. Berkali-kali dia mengingatkan saya bahawa setiap usaha menolong orang yang dilakukannya itu bukanlah untuk membebankan saya, sebaliknya dia tahu kebolehan saya melebihi dirinya. Sedangkan saya sendiri tidak tahu apakah ukuran yang dibuatnya.
Setahu saya Aki Sahak sudah lama berguru dengan Pak Tua Mahat. Dia berkawan rapat dengan Pak Tua Mahat kerana umur mereka lebih kurang sebaya. Sebelum berkahwin dengan Makda Saodah, dia menetap di kampung saya. Tetapi setelah berpindah ke kampung isterinya hampir 20 tahun jarang pula dia balik ke kampung. Sebab itulah hubungan saya hampir terputus dengannya. Abang pada Aki Sahak ini pun bukanlah calang-calang orang. Saya percaya tentulah Aki Sahak ada juga menuntut dari abangnya. Bagaimanapun semasa abang Aki Sahak itu meninggal dunia dulu, saya masih kecil lagi kira-kira berumur 10 tahun. Tetapi saya masih ingat akan kejadian yang menimpa arwah Aki Mat Tera.
Lama Aki Mat Tera jatuh sakit menyebabkan badannya menjadi kurus kering. Walaupun sakit terlantar namun Aki Mat Tera berselera bila makan. Dia makan bertambah-tambah. Malah kalah pula orang yang sihat kalau melawan makan dengannya. Isterinya bercadang mahu memanggil Pak Tua Mahat atau Aki Sahak sendiri datang mengubatnya. Tetapi Aki Mat Tera enggan diubat oleh Pak Tua Mahat atau Aki Sahak.
"Aku pawang besar..." jelasnya membantah bila isterinya Simit mahu memanggil Pak Tua Mahat. "Takkan orang baru nak belajar berpawang nak mengubat aku" katanya angkuh. "Jangan begitu" pujuk Simit masih mengharapkan suaminya mehu berubat. "Pawang ni bukan kira besar kecilnya, berubat ikut rasi..kalau rasi dengan penyakit, pawang kecil mengubat boleh sembuh" tegasnya mencemik. Meluat juga dia dengan perangai sombong suaminya yang tidak mahu berubat dengan Pak Tua Mahat. "Aku tak mahu berubat dengan Mahat" dia tetap berkeras tidak mahu Simit menjemput Pak Tua Mahat. "Aku tahu siapa Mahat, dulu aku makam garam dari dia. Takkan dia ada rupa nak mengubat aku" dia terus mengejek-ngejek kebolehan Pak Tua Mahat. "Kalau tak mahu dengan Mahat, cuba-cubalah dengan Sahak" Simit tetap mendesak. "Sahak nak mengubat aku..." Aki Mat Tera tersengih mengejek. "Budak hingus meleleh nak ubat aku. Kau tau, dia tu belajar dengan aku!" katanya masih berkeras tidak mahu berubat pada Pak Tua Mahat dan Aki Sahak.
Simit tidak tertahan dengan sikap Aki Mat Tera kerana sudah terlalu lama terlantar. Tubuhnya semakin kurus hanya tinggal rangka saja. Bolehlah diibaratkan sebagai kata orang kalau tak ada kulit, tulang pun habis berkecai. Begitulah kurusnya tubuh Aki Mat Tera. Malah sepanjang dia sakit itu Aki Mat Tera tidak membenarkan Aki Sahak menjejakkan kaki ke rumahnya. Dia menuduh Aki Sahak cuba memikat Simit. Inilah yang menyinggung perasaan Aki Sahak. Sejak itu Aki Sahak juga tidak mahu menjengah abangnya yang sakit tenat itu. Hinggalah Aki Mat Tera tidak boleh bergerak lagi dia tetap tidak mahu diubat oleh Pak Tua Mahat. Bagaimanapun selera makannya tetap terbuka.
Dengan tidak setahu Aki Mat Tera, Simit terus memberitahu Pak Tua Mahat supaya datang mengubat Aki Mat Tera. Setelah merasakan sesuatu yang tidak kena pada Aki Mat Tera, lantas Pak Tua Mahat menyuruh Simit memanggil Aki Sahak datang ke rumahnya. Setelah Aki Sahak datang dia pun mengajak Aki Sahak sama-sama mengubati Aki Mat Tera. Pada mulanya Aki Sahak memang enggan juga pergi ke rumah Aki Mat Tera, tetapi setelah didesak oleh Pak Tua Mahat barulah dia mengalah.
"Ini bukan perkara Abang Mat Tera yang kita hadapi" jelas Pak Tua Mahat menasihati Aki Sahak. "Perkara lain yang kita sama-sama tak tau..." suaranya keras apabila Aki Sahak enggan menemui Aki Mat Tera. "Kecil hati aku Abang Mahat" Aki Sahak terharu bila mengenangkan tuduhan abangnya. "Kecil hati aku fasal dia tuduh aku ke rumahnya kerana nak mengulang Kak Simit. Adakah patut dia tuduh aku macam tu!" ujarnya menahan perasaan kesal. "Ah, cakap setan kau nak ikut" Pak Tua Mahat mendengus.
"Bukan Abang Mat Tera yang cakap macam tu, setan yang cakap! Setan yang cakap!" dia menambah macam memarahi sikap Aki Sahak kerana enggan menziarahi abang sendiri yang sedang terlantar sakit. "Iyalah dia yang ikut cakap setan..." balas Aki Sahak. "Fasal itu kita jangan peduli". "Sakit hati aku dibuatnya!". "Kau nak jadi setan juga?". "Dia cakap tak fikir dulu...". "Kau nak jadi setan?". "Tak patut dia tuduh aku macam tu...". "Kau nak jadi setan?". "Siapa nak sabar Abang Mahat...!". "Kau nak jadi setan?" suara Pak Tua Mahat semakin keras menyebabkan Aki Sahak serba salah. Dia terdiam bila ditanya bertalu-talu oleh Pak Tua Mahat. "Kau nak jadi setan?" ulangi Pak Tua Mahat merenung tepat-tepat.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment