El Hadji Diouf Bakal Warnai Liga M



Desas-desus bahawa Sabah bakal mengikat pemain berprofil tinggi semakin hampir menjadi kenyataan apabila bekas penyerang Liverpool, El Hadji Diouf tiba di Kota Kinabalu semalam.

Menurut portal rasmi Persatuan Bolasepak Sabah (Safa), sabahfa.com, ketibaan bekas bintang Piala Dunia Senegal itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di­sambut pengurus Sabah, George O’Callaghan.

“Saya sangat teruja berada di sini (Sabah),” kata Diouf kepada portal itu selepas menjejakkan kakinya di Kota Kinabalu petang semalam.

Menurut portal itu, Diouf akan berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Rhinos, Datuk TC Goh yang dijangka hari ini untuk membincangkan lebih lanjut berhubung kontraknya bersama Sabah.

“Saya telah lama berada di England, saya sangat teruja ber­ada di sini (Sabah), di negara yang baharu (Malaysia)...saya akan bertemu dan berbincang dengan Datuk TC Goh,” katanya.
Pemain kebangsaan Senegal tahun 2000 hingga 2009 itu me­rupakan salah seorang daripada empat pemain import yang diburu oleh sang Badak dalam usaha­nya untuk melonjak ke Liga Super dengan mendominasi kempen Liga Perdana musim depan.

Diouf, pemenang anugerah Pemain Terbaik Afrika tahun 2002 dan 2003, pernah bersama gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool pada tahun 2002-2005 sebelum berpindah ke Bolton Wanderers (2004-2008), Sunderland (2008-2009), Blackburn (2009-2011) dan terakhir, Leeds United (2012-2014).
Dia telah menjaringkan 21 gol dalam 69 perlawanan antarabangsa.

Sabah, yang menamatkan kempen Liga Perdana 2014 dengan menduduki tempat ketujuh, juga dikatakan bakal mengambil pemain pertahanan, Ricarte Dos Santos dari Brazil dan bekas pemain Manchester United, Liam Miller.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment