Gambar Hiasan |
Episod Akhir
Bila mengenangkan sumbangan Aki Sahak ini kepada orang ramai, saya rasa macam berdosa pula mahu berpindah dari situ disebabkan tidak senang dengan Aki Sahak. Saya seolah-olah mahu melarikan diri dari membantu dia di situ. Tetapi saya tidak sanggup membuat kerja-kerja seperti dilakukan oleh Aki Sahak itu. Saya tidak mahu dijadikan tumpuan oleh masyarakat. Masalahnya berat kalau kita sudah mula mahu menerima harapan seseorang yang mengharapkan sesuatu dari kita. Sedangkan semua kerja-kerja ini mestilah dibuat dengan ikhlas. Bila hati kecil kita sudah mempertikaikan sesuatu, maka kerja-kerja yang dilakukan itu sudah menjadi sia-sia.
Kadangkala timbul pula tomahan dari orang lain yang mengatakan cara yang dilakukan itu sama seperti bomoh yang mencari wang. Padahal bukan semua bomoh mencari wang melalui cara pengubatan mereka. Kalau mahu dikira upah memang tidak setimpal dengan pengorbanan yang dilakukan oleh Aki Sahak. Apakah perasaan kita bila dikejutkan orang sewaktu mata baru mahu terlena tengah malam? Bagaimana kita mahu mencari nafkah apabila semalam-malaman berjaga merawat pesakit? Masyarakat hanya melihat dari satu aspek saja iaitu bomoh tidak mengeluarkan apa-apa modal apabila mengubati pesakit? Inilah yang susah hendak dijawab. Sebab itulah saya mahu melarikan diri dari tempat kerja-kerja demikian. Kadangkala kepala mahu naik pitam apabila terpaksa membacakan satu-satu ayat itu dengan kusyuk. Ayat-ayat tersebut bukannya dibaca seperti menghafal senikata lagu yang dinyanyikan oleh anak-anak muda. Tetapi disekalikan dengan makrifatnya. Untuk mencapai tingkat itulah yang boleh menyebabkan kepala naik pitam.
Tetapi saya kesihan juga kepada Aki Sahak yang sudah mula mendapat bantuan dari saya. Tentulah dia kecewa sekiranya saya mengambil keputusan bertukar dari situ. Pernah juga Aki Sahak membisikkan kepada saya, sementara saya masih bertugas di daerah itu, mungkin Abang Amud bercadang juga mahu mendalami pengubatan cara ditidurkan ini. Dalam masa berkira-kira mahu bertukar dari daerah itu hampir saya terlalai kerana Asar sudah masuk. Isteri saya juga sudah mengingatkan tentang Asar. Saya pun segera mengambil wudhuk di bilik air untuk menunaikan fardhu Asar berjemaah dengan isteri saya. Perkara mahu bertukar itu sudah saya beritahu pada isteri saya. Dia juga tidak membantah tujuan saya, kerana selama ini memang dia sedari saya selalu saja dipanggil orang. Kadangkala terkuap-kuap di tempat kerja menahan mengantuk.
Pernah juga isteri saya bergurau dengan memanggil saya doktor tak berijazah. Tetapi saya tidaklah hiraukan sangat. Bukan saya yang meminta diri saya dipanggil, tetapi masyarakat di situ yang mahu mencari saya. Semenjak Aki Sahak menyuruh mereka mendapatkan saya kalau menghadapi gangguan syaitan, maka saya sudah menjadi tumpuan. Asar itu seperti biasa kami terus berjemaah menunaikan fardhu Asar. Semasa masuk rakaat kedua, saya terdengar ada orang memanggil saya dari halaman. Terpaksa saya mendehem kuat. Kemudian meneruskan sembahyang saya hingga selesai. Setelah memberi salam saya wirid pendek saja. Kemudian saya terus ke pintu hadapan menjengah siapa yang memanggil tadi. Sali tercegat di tengah halaman.
"Ada apa Sali?" tanya saya sambil mempelawanya masuk dahulu. "Tak payah masuklah ustaz..." sahut Sali tersengih-sengih. "Aki Sahak panggil?" tanya saya menduga. Selalunya mereka datang berjumpa saya kerana disuruh oleh Aki Sahak. Dia mengangguk. "Kalau macam tu, masuklah dulu" saya berkeras juga mengajak dia masuk dulu. "Masuklah, kita minum kopi dulu. Lepas tu barulah kita pergi. Tak apa tu, Aki Sahak dah ada cukuplah..." kata saya menyuruhnya masuk dulu. "Elok kita cepat ustaz..." ujar Sali mendesak. "Tak apa, masuklah dulu" ujar saya mendesaknya supaya masuk. Sali menjadi serba salah apabila didesak. Mahu tidak mahu terpaksa juga dia masuk. Tetapi saya lihat dia di dalam keadaan rusuh. Mungkinkah ada gangguan di lombong? Saya rasa puaka air di lombong itu masih belum musnah lagi. Bukanlah satu perkara mudah untuk menghapuskan mereka sama sekali, kecuali kita hanya boleh menghalang niat jahat syaitan saja.
"Takkan nak cepat sangat" isteri saya pula keluar dari bilik menyindir. "Datang cuma nak ajak ustaz aje?" katanya terus berjalan ke dapur. Sali tersengih-semgih. Dia tidak banyak bercakap bila sudah duduk. Mungkin dia bimbang orang akan tertunggu-tunggu. Tentulah mereka menuduh dia tidak boleh diharap disuruh memanggil saya. Sepatutnya dia mesti segera datang semula membawa saya bersama. "Apa halnya?" tanya saya. "Abang Amud ajak ustaz cepat" dia memberitahu. "Apa halnya...?" ulangi saya. Sali terdiam. Susah benar dia mahu menerangkan kepada saya. Mengapa pula dia masih mahu menyembunyikan tujuan kedatangannya. Kalau dia disuruh oleh Abang Amud mendapatkan saya, mestilah saya hendak tahu jugak apa masalah Abang Amud. Sepatutnya Sali mesti memberitahu.
Tetapi dia tetap membisu. Sama seperti seorang gadis yang bekerja di pejabat daerah yang pernah menemui saya terlalu susah mahu menerangkan tujuannya. Dia mahu bercakap sama seorang saja dengan saya. Terpaksalah saya membawanya jauh sedikit. Dia memberitahu tentang seorang lelaki yang berjanji mahu mengahwini dia, tetapi masih juga enggan masuk meminang. Lelaki itu memberi berbagai-bagai dalih. Akhirnya menghilangkan diri entah ke mana. Gadis itu meminta saya membuatkan sesuatu supaya lelaki tersebut kembali kepadanya. Masalah gadis tersebut tentulah tidak sama dengan Sali. Gadis itu terpaksa menyembunyikannya kerana masalah peribadi. Saya sendiri tidak tahu apakah caranya mahu menolong, kerana seperti saya katakan, saya bukanlah seorang bomoh. Sedangkan gadis berkenaan menyangkakan saya seorang bomoh. Bagaimanapun saya nasihatkan gadis itu supaya sembahyang Tahajud memohon kepada Allah supaya lembutkan hati lelaki yang telah merosakkan masa depannya itu dan datang menikahinya. Sama ada dia melakukan atau tidak, saya pun tidak tahu. Selepas itu saya tidak pernah lagi menemui gadis tersebut.
"Apa halnya?" soal saya lagi. "Abang Amud suruh ustaz cepat itu saja" jelasnya serba salah. "Iyalah, cepat nak ke mana?" heran juga saya mengapa Sali tidak mahu berterus terang. Sebenarnya kalau memerlukan saya cepat pun tidaklah penting sangat, kerana Aki Sahak sendiri mempunyai pengalaman yang lebih dari saya. Pengubatan cara tidur yang sering saya katakan itu memang saya belajar dari Aki Sahak juga. Malah bukanlah perkara yang pelik, kerana ada kawan saya yang pernah bekerja di Sarawak memberitahu, di Sarawak juga pengubatan secara ini sudah meluas digunakan. "Cepat, nak ke mana?" saya mendesaknya. Belum sempat Sali menjawab, isteri saya sudah keluar membawa kopi bersama karipap yang sudah disediakannya. Sali terus terkebil-kebil mata memerhati isteri saya datang.
"Bagilah can ustaz rehat-rehat di rumah..." isteri saya mengusik. "Abang Amud yang suruh jemput" beritahu Sali tersengih-sengih. "Kalau ustaz selalu aje dijemput, saya ni macam mana?" ujar isteri saya. Sebenarnya isteri saya bukanlah menyindir, sebaliknya dia memang gemar mengusik. Kadangkala kalau orang nipis telinga mungkin mengatakan isteri saya menyindir. Tetapi dia memang tahu mengapa masyarakat di situ menjemput saya tergesa-gesa. Disebabkan mereka tidak pernah mengalami pengubatan yang sering saya dan Aki Sahak lakukan, jadi mereka menyangka ianya satu perkara baru. Sebenarnya ilmu Allah bukanlah baru, ianya sudah ujud sejak lama dulu.
"Minumlah dulu..." pelawa isteri saya menghulurkan cawan kepada Sali. "Lepas tu nak ambil ustaz, ambillah. Tapi hantar balik tau..." katanya tersenyum. Sali tersengih-sengih mendengar usikan isteri saya itu. "Abang Amud suruh ustaz datang fasal Aki Sahaklah" kemudiannya dia memberitahu. "Mengapa Aki Sahak?" tanya saya. "Entah..." jelas Sali perlahan. "Sejak lepas Zohor tadi dia muntah darah. Fasal itu Abang Amud minta sangat ustaz datang cepat." katanya bercampur rusuh. Tidak jadi saya meneguk kopi bila mendengar cakap Sali. Lantas saya suruh isteri saya bersiap-siap untuk menziarahi Aki Sahak. Dalam kepala saya mula timbul bermacam-macam soalan, bagaimana Aki Sahak yang sentiasa beringat itu, sekali sekala terlalai juga. Tetapi, inilah sifat insan...
Tamat
Sumber : Siri Berkelahi Dengan Syaitan
No comments:
Post a Comment