Mayat Bernyawa Kuat Makan II


Gambar Hiasan

Sambungan Post Terdahulu...

Dia merasa tidak patut Aki Sahak langsung tidak mahu menziarahi abangnya kalau sekadar dituduh mahukan kakak ipar sendiri. Orang sakit selalunya mempunyai fikiran yang tidak tenteram. Sebablah cakapnya merepek sampai melalut tidak ketahuan. Sepatutnya Aki Sahak tidak boleh ambil hati dengan tuduhan orang yang terlantar sakit seperti Aki Mat Tera itu. Lagi pun kalau dibandingkan isteri Aki Sahak dengan Simit pun, jauh lebih muda dan menariknya isteri Aki Sahak. Masakan dia boleh terpengaruh dengan tuduhan orang yang sedang terlantar sakit kerana orang seperti ini fikirannya sudah nyanyuk. Mahu tidak mahu Aki Sahak terpaksa mengalah juga. Dia mengikut Pak Tua Mahat ke rumah Aki Mat Tera. Jiran-jiran juga berkumpul di rumah Aki Mat Tera apabila mendengar Pak Tua Mahat sanggup mengubatnya.

Sebaik saja Pak Tua Mahat dan Aki Sahak naik ke rumah terus dimaki hamun oleh Aki Mat Tera. Terkial-kial dia mahu bangun tetapi tenaganya ternyata lemah. Saya sendiri duduk tidak jauh dari hujung kaki Aki Mat Tera. "Aku tau kau berdua nak berbini dengan Simit..." gerutu Aki Mat Tera terkial-kial mahu bangun. "Sabarlah Abang Mat Tera" emak saya memujuk supaya Aki Mat Tera tidak berkuat mahu bangun. "Abang Mat Tera sakit, biarlah Abang Mahat cuba-cuba tengok..." ujar emak saya lembut. "Mahat nak ubat aku..." dia tertawa mengejek sambil mengerling emak saya. "Dia bukan nak ubat aku, dia nak jumpa Simit. Aku tahu dia selalu berzina dengan Simit" katanya lagi menggertap bibir. Saya lihat Simit menangis teresak-esak mendengar tuduhan Aki Mat Tera itu. "Astaghfarullah al-azzim" keluhnya menahan perasaan sebak yang menusuk-nusuk di jiwa.

"Jangan ambil hati Kak Simit" emak saya memegang bahu Kak Simit. "Orang sakit tenat memang macam tu. Cakapnya merepek" ujarnya memujuk. Simit tidak menyahut. Dia mengangguk-angguk kepala saja menyetujui kata-kata emak saya tadi. "Aku tau Simit, aku tau..." Aki Mat Tera terus mengejek. "Kau berzina dengan Mahat, kau berzina dengan Sahak" katanya tertawa menyakiti hati mereka yang dituduhnya. "Tutup mulut kau Abang Mat Tera!" jerkah Aki Sahak tidak sabar dengan tuduhan Aki Mat Tera. Kalaulah tidak mengenangkan jiran-jiran ramai berkumpul di ditu, memang sanggup dia menerkam abangnya. Dia tidak peduli lagi fsal abangnya sakit terlantar berbulan-bulan di tempat tidur. "Sahak..." Pak Tua Mahat memarahi Aki sahak. "Ingat! Kau bukan bercakap dengan Abang Mat Tera, kau bercakap dengan setan. Ingat tu...!" katanya mengerling Aki Sahak yang masih kelihatan marah.

Aki Sahak tertunduk. Dia sedar tidak dapat mengawal dirinya apabila mendengar tuduhan yang dilemparkan. Perkara menuduh dirinya berzina dengan kakak ipar sendiri, tentulah macam mencontengkan arang ke mukanya. Manakala tuduhan itu dibuat oleh abang kandungnya sendiri. Walaupun abangnya dalam keadaan sakit tenat, namun dia percaya fikirannya masih baik. Aki Mat Tera masih dapat mengingat semua kejadian yang pernah dilalui. Sebab itulah Aki Sahak percaya abangnya itu tidak nyanyuk. Tuduhan yang dilemparkan oleh abangnya memang terbit dari hatinya sendiri yang mulai cemburu terhadap isterinya. Sudah berbulan-bulan dia terlantar sakit. Tentulah timbul rasa cemburu, apabila melihat Simit sering menemui Aki Sahak dan Pak Tua Mahat meminta tolong, sedangkan dia sudah melarang supaya jangan meminta tolong dari dua orang lelaki berkenaan.

"Kau mesti banyak bersabar" ujar Pak Tua Mahat masih memandang ke arah Aki Sahak. "Usah nak berpura-pura Mahat, aku tau kau dah berzina dengan Simit. Bukan sekali dua, sudah berkali-kali. Simit akan buntingkan anak kau, tau..." Aki Mat Tera mengejek. Simit menangis tersedu-sedu mendengar tuduhan suaminya itu. Tetapi dia tidak menyahut. Dia tahu Aki Mat Tera sedang sakit tenat. Mungkin juga boleh dianggap membuang tebiat, kerana masanya sudah semakin hampir. Sebab itu Simit tidak menghiraukan sangat. "Kau pandai berpura-pura! Kau berzina dengan bini orang! Dengan Simit! pekik Aki Mat Tera terketar-ketar.

Gambar Hiasan
Pak Tua Mahat tidak menyahut. Dia membacakan sesuatu sambil menghembuskan kepada Aki Mat Tera. biarlah Aki Mat Tera memaki hamunnya tidak berhenti-henti, namun Pak Tua Mahat tetap tidak berundur. Dia terus membacakan ayat-ayat suci Al-Quran yang tertentu. Setelah lama Pak Tua Mahat membacakannya, tiba-tiba Aki Mat Tera terus memekik. Dia meronta-ronta bagaikan mahu bangun melawan, tetapi tubuhnya ternyata lemah. "Bangsat kau Simit..." gerutu Aki Mat Tera. "Dah aku cakap Mahat dengan Sahak jangan jangan diberi naik ke rumah ni, seksa aku!" dia merintih-rintih kesakitan. "Kau tak beri aku dengan Sahak datang, fasal takut rahsia kau terbuka!" tiba-tiba Pak Tua Mahat membentak. "Rahsia apa?" Aki Mat Tera tersengih-sengih bagaikan orang yang tersipu malu. "Sekarang pergi dari sini!" jerkah Pak Tua Mahat merenung Aki Mat Tera tidak berkelip matanya. "Tinggalkan Mat Tera biar diuruskan oleh keluarganya. Kau tidak ada hak nak menguruskan Mat Tera!" suaranya keras macam memberi amaran yang mengancam. "Pergi nak ke mana?" tanya Aki Mat Tera seperti tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Pak Tua Mahat.

Ketika ini semua jiran-jiran yang berkumpul di situ melihat Aki Mat Tera berbantah-bantah dengan Pak Tua Mahat. Tetapi seperti yang diceritakan oleh Aki Sahak kemudiannya kepada saya, masa itu dia sendiri sudah nampak keadaan sebenarnya. Barulah dia menyesal kerana memarahi abangnya apabila dituduh berzina dengan kakak ipar sendiri. Aki Sahak ikut sama menyertai Pak Tua Mahat. Dia melihat satu lembaga besar sedang memangku Aki Mat Tera seolah-olah seorang ayah sedang meriba anak kecil saja lakunya. Muka lembaga itu tidaklah jelas sangat hanya seperti bayang-bayang hitam yang terlindung. Lembaga besar itu pun seakan-akan asap pekat saja.

"Tinggalkan Mat Tera...!" perintah Pak Tua Mahat. "Nak tinggalkan Mat Tera atau kami serang kamu dengan petir" Aki Sahak pula mencelah. Lembaga itu memerhatikan Pak Tua Mahat bersama Aki Sahak sudah bersedia untuk menyerangnya. Dia masih juga meriba Aki Mat Tera seperti ayah yang meriba bayi. Sementara Aki Mat Tera pula dilihatnya seperti bayi tidur tidak bergerak langsung. "Kau berdua..." sahut lembaga besar seperti asap tebal itu. "Jangan ganggu aku. Ini anak aku yang mesti aku jaga. Mengapa kau bersusah payah mahu mengambilnya dari aku" dia ketawa mengejek lalu melemparkan besi serampang ke dada Pak Tua Mahat. Dengan pantas Pak Tua Mahat menangkap besi serampang itu. Kemudian diramas-ramasnya hingga menjadi cair.

"Mat Tera tu abang aku, bukan anak kau" kata Aki Sahak sambil membacakan beberapa ayat dihembuskan kepada lembaga berkenaan. Ketika ini petir memancar memukul kepala lembaga besar tersebut hingga berkecai. Tidak lama kemudian dia bertaup semula lantas meriba Aki Mat Tera yang tidur seperti bayi. "Sia-sia aje kerja kau Sahak" lembaga itu mengejek-ngejek kerana dia terlepas dari ancaman petir tadi. Belum sempat dia duduk tetap, Pak Tua Mahat menghembuskan ayat-ayat Quran yang datang seperti gunung menimpa kepala lembaga berkenaan. Dia terhimpit di bawahnya meronta-ronta mahu melepaskan diri. Puas dia terkial-kial akhirnya dapat juga dia keluar dari bawah gunung yang menimpa dirinya. "Nampaknya kau nak bunuh aku, Mahat" pekik lembaga itu meradang. "Memang aku nak bunuh kau" sahut Pak Tua Mahat pula mengejek. "Sekarang, tinggalkan Mat Tera!" ujarnya mencabar lembaga tersebut terus bertarung.

Bersambung...



No comments:

Post a Comment