Mayat Bernyawa Kuat Makan III



Gambar Hiasan
Sambungan Episod Lalu...

Lembaga itu tertawa menyakitkan hati Pak Tua Mahat. Tiba-tiba saja dia melontarkan beratus-ratus tombak menuju ke dada Pak Tua Mahat. Dengan pantas pula Pak Tua Mahat menghembuskan api membakar semua tombak-tombak yang berterbangan itu. Dia masih juga tertawa mengejek Pak Tua Mahat. Tetapi Pak Tua Mahat tahu lembaga besar yang meriba Aki Mat Tera itu sudah menderita kesakitan. Bagaimanapun dia tetap berpura-pura menunjukkan serangan yang dibuat ke atasnya tidak memberi bekas. Inilah yang dipermainkan oleh syaitan bagi menguji kekuatan iman insan. Sekiranya insan  cepat putus asa, maka sudah tentu syaitan akan beroleh kemenangan.

"Kita serang serentak Sahak..." Pak Tua Mahat memberi arahan kepada Aki Sahak. Aki Sahak membacakan sesuatu lalu berterbangan panah dari api menerkam ke arah lembaga besar itu. Serentak dengan itu Pak Tua Mahat pula menghembuskan ke arah lembaga tersebut hingga terlempar rantai besi melilit seluruh tubuhnya. Pak Tua Mahat dan Aki Sahak terus menyerang dari berbagai sudut. Bukan saja rantai besi melilit tubuh lembaga besar itu, di samping panah api datang dari segenap penjuru, petir juga berdentum membakarnya. Batu sebesar gunung menimpa kepalanya. "Kau tipu aku Mahat. Kau berdua dengan Sahak, aku berseorangan. Mana boleh aci macam ni..." dia menggeliat-geliat menahan serangan bertubi-tubi.

"Aku suruh kau tinggalkan Mat Tera!" suara Pak Tua Mahat semakin keras. Dia tidak berhenti dari terus menyerang. Habis satu ayat, dibacanya ayat yang lain. Berhenti batu sebesar gunung menimpa kepalanya, datang pula panah api meradak. Lembaga besar itu terjerit-jerit menahan kesakitan. Jeritan itu dapat didengar oleh jiran-jiran yang menyaksikan melalui suara Aki Mat Tera yang menggeliat-geliat di tempat tidur. Serangan Pak Tua Mahat ditambah lagi oleh serangan Aki Sahak yang tak putus-putus membaca Ayatul Kursi. Sehingga sampai 333 kali Aki Sahak membacakan Ayatul Kursi terdengarlah rintihan dari lembaga itu meminta diberhentikan.

"Cukuplah, terseksa aku!" rintih lembaga itu merayu. "Kalau takut terseksa, pergi sekarang" perintah Pak Tua Mahat. "Aku tak boleh tinggalkan anak aku" jelas lembaga itu mempertahankan diri. "Boleh atau tak boleh kau mesti tinggalkan Mat Tera!" tegas Pak Tua Mahat tidak mahu bertolak ansur pun. "Ini anak aku" sahut lembaga itu berkeras. "Sahak, teruskan..." Pak Tua Mahat menyuruh Aki Sahak terus membacakan Ayatul Kursi. "Jangan, jangan..." lembaga itu menangis teresak-esak melalui Aki Mat Tera yang terbaring lemah. "Tak tahan aku bahang api, panas..." ujarnya merayu-rayu. "Aku beri tempoh lima minit" Pak Tua Mahat memberi amaran. "Kalau kau tak pergi juga, aku akan hancur musnahkan macam debu" katanya menggertap bibir.

Kelihatan Aki Mat Tera tidur nyenyak. Dia tidak bergerak lagi seperti mula-mula kedatangan Pak Tua Mahat dan Aki Sahak datang. Saya yang duduk di lunjur kakinya bersama emak saya, dapat melihat ombak dadanya turun naik dengan kencang. Matanya lelap. Sekali-sekala saya lihat mukanya memang menggerunkan. Pipinya sudah cengkung, sementara matanya jauh ke dalam. Tulang pipinya menungkal ke atas. Mukanya juga sudah menjadi kecil dan dagunya kelihatan terlalu panjang. Tetapi dia masih juga terlantar di tempat tidur. Setelah lima minit, Pak Tua Mahat melihat ke dalam makrifat, dia dapati lembaga itu masih meriba Aki Mat Tera. Tetapi seluruh badannya sudah bertukar menjadi hitam akibat serangan bertalu-talu tadi. Bila menyedari Pak Tua Mahat kembali datang untuk menyerang bersma Aki Sahak, lembaga besar itu melepaskan Aki Mat Tera dari ribaannya. Melihat keadaan ini Pak Tua Mahat tahu lembaga itu sudah mengalah. Dia tidak sanggup lagi melawan.

"Ilmu kau berdua, bukan ilmu pawang. Aku tak tau apa ilmu yang kamu pakai" lembaga itu bersuara terketar-ketar. "Jangan tanya tentang ilmu, sekarang tinggalkan Mat Tera!" jerkah Pak Tua Mahat. "Kau mahu kami serang lagi...?" tanya Aki Sahak mengeraskan suara. "Jangan, ampun...ampun" rintihnya menangis teresak-esak. "Aku tak tau jalan balik" katanya berpusing-pusing di sekeliling Aki Mat Tera. "Datang tau, balik tak tau ye..." Aki Sahak tidak mempercayai dalih lembaga tersebut. "Tolonglah lepaskan aku. Bukakan ikatan aku..." lembaga itu merayu bersungguh-sungguh. Pak Tua Mahat mengangguk. Dia bersetuju dengan permintaan lembaga itu mahu pergi dengan tidak diganggu. Ikatan yang dimaksudkan oleh lembaga itu ialah terletak pada Aki Mat Tera sendiri. Memang Pak Tua Mahat tahu mengenai ikatan lembaga tersebut dengan Aki Mat Tera.

"Kak Simit jangan terkejut..." bisik Pak Tua Mahat pada isteri Aki Mat Tera. "Selama ini Abang Mat Tera pakai ilmu salah, inilah yang menyeksa dia sekarang" beritahu Pak Tua Mahat. "Habis, apa kakak nak buat?" Simit serba salah bila mendengar keterangan Pak Tua Mahat itu. "Suruh orang bukakan lantai rumah sekeping, atap sekeping dan anak tangga bawah sekali" jelas Pak Tua Mahat. Apa yang dikatakan oleh Pak Tua Mahat itu dilakukan oleh orang. Papan lantai sekeping dikopakkan, atap juga dibuang sekeping, manakala anak tangga rumah juga ditetas pengikatnya. Setelah semuanya dilakukan, Aki Mat Tera pun meninggal dunia.

Apabila Aki Mat Tera meninggal dunia, mayatnya pun diselubungkan dengan kain. Mereka pun bersiap-siaplah untuk menguruskan pengebumiannya pada esok harinya. Ketika mahu memandikan mayat alangkah terperanjatnya apabila melihat mayat Aki Mat Tera sudah reput. Hanya tulang-tulangnya saja yang tinggal seolah-olah dia sudah lama meninggal dunia. Memang benar Aki Mat Tera sudah lama meninggal dunia. Yang dilihat sedang sakit itu hanyalah lembaga yang memelihara dia. Lembaga itulah yang kuat makan. Dan lembaga itulah yang melarang Simit dari menjemput Pak Tua Mahat dan Aki Sahak, kerana dia tahu orang-orang demikian adalah musuhnya.

Bersambung

No comments:

Post a Comment