Pada malam itu Ustaz Badur balik dari Taiping setelah menghadiri majlis perkahwinan saudaranya. Disebabkan dia orang berniaga, terpaksalah dia balik juga ke Kuala Lumpur kira-kira jam 6.00 petang. Dia berhenti juga di pertengahan jalan untuk sembahyang Maghrib dan Isyak. Di Ipoh dia berhenti juga untuk makan. Hanya apabila sampai berhampiran Tanjung Malim, dia merasa angin bertiup sejuk. Hujan turun renyai-renyai. Mak Seha mengingatkan Ustaz Badur supaya tidak membawa kereta laju, kerana dia sudah mendengar mengenai jalan selepas Tanjung malim itu sering orang bertemu lembaga memakai serba putih berdiri di tengah jalan.
Kadangkala lembaga itu duduk pada cermin kereta menyebabkan pandangan tertutup. Ustaz Badur pula tidaklah berdiam diri saja, dia membacakan juga ayat-ayat suci Al-Quran yang terlintas di kepalanya semasa memandu itu. Sementara Zaqlul duduk di belakang tidaklah tidur, walaupun usianya masih anak-anak. Memang dia sukar tidur kalau di dalam kereta.
Hujan renyai-renyai turun tidak berhenti sehingga sampai ke tol. Selepas tol, Ustaz Badur bercadang mahu singgah dulu di pekan Tanjung Malim untuk berhenti minum kopi, tetapi Mak Seha tidak mahu.
"Dah dekat nak sampai, buat apa berhenti lagi" ujarnya membantah, kerana dia mahu segera sampai ke rumah. Zaqlul juga bersetuju dengan emaknya. Dia tidak mahu berhenti minum terlebih dulu. "Banyak minum nanti banyak kencing" katanya nakal.
Disebabkan anak dan isterinya tidak mahu berhenti, Ustaz Badur pun tidak merasa seronok untuk singgah di Tanjung Malim.
"Kalau awak nak berhenti minum, berhentilah dulu. Nanti kempunan pulak" Mak Seha mengingatkan dia.
"Ah, aku seorang minum buat apa" rungut Ustaz Badur. Setakat dia seorang mahu minum kopi buat apa singgah di pekan Tanjung Malim yang terpaksa menyimpang jauh ke dalam sedikit. Lebih baik berhenti di gerai-gerai yang ada di tepi jalan. Dia mahu singgah di pekan Tanjung Malim kerana mahu mencari kuih pau yang terkenal di Tanjung Malim itu. Melepasi kawasan perkampungan, tibalah di selekoh yang gelap. Kiri kanannya pokok-pokok getah yang rimbun menjadikan kawasan di situ bagaikan diserkup. Hujan renyai-renyai masih turun, tetapi jalan tidaklah begitu licin. Sampai di kawasan selekoh itu Ustaz Badur tidaklah memecut sangat. Lagipun orang tua sepertinya memang tidak suka membawa kereta laju.
"Eh, apa yang putih tengah jalan tu ayah" Zaqlul menudingkan jari telunjuk ke hadapan.
"Orang nampaknya tu..." Mak Seha tergamam sedikit. "Orang gila ke agaknya, merayau tengah malam macam ni" rungutnya apabila nampak lembaga berpakaian serba putih mara menuju ke kereta.
Ustaz Badur cuba menekan brek, tetapi terasa breknya tidak mencengkam. Dia menjadi kelam kabut kerana brek sudah ditekan kuat, tetapi tidak memberi bekas. Kereta semakin hampir dengan lembaga berkenaan. Mahu tidak mahu dia terus merempuh, dan merasa keretanya bukan melanggar lembaga tadi sebaliknya menerpa ke tebing. Semasa keretanya terbabas, Ustaz Badur lama terduduk di bangku depan. Dia tidak tahu apa sudah berlaku. Hendak dikatakan pengsan tidak pula, kerana dia sedar apa yang berlaku ketika itu. Dia tahu Zaqlul yang mula-mula keluar dari kereta dan memanggilnya.
Mak Seha juga tergamam. Dadanya tersendal ke depan, tetapi dia juga tidaklah pengsan. Dia masih ingat Zaqlul memanggil-manggilnya suruh keluar. Dalam hujan renyai-renyai itulah Zaqlul menahan sebuah kereta yang sedang hendak menuju ke Ipoh. Dengan bantuan pemandu kereta itulah mereka bertiga dibawa ke hospital Tanjung Malim. Ketika ini Zaqlul tidak sedar bahawa tangannya patah semasa kereta terhumban ke tebing.
Setelah sampai di hospital barulah dia merasa tangannya sakit. Pemandu yang menolongnya itulah juga yang menelefon menantunya Munir memberitahu tentang kemalangan tersebut.
"Mujurlah juga ada orang mahu menolong saat-saat begini" ujar saya sambil melihat kesan melecet pada dahi Ustaz Badur.
"Orang tua macam saya ni, tentulah dia orang nak tolong. Lagipun inilah sebahagian dari pertolongan Allah juga" katanya perlahan.
Memang pada zahirnya kita melihat makhluk yang membantu kita dalam kesusahan demikian, tetapi sebenarnya hati makhluk itu digerakkan oleh Allah supaya memberikan pertolongan. Inilah dimaksudkan oleh Ustaz Badur pertolongan dari Allah itu. Bagaimana kisah dia terserempak lembaga berpakaian serba putih di Tanjung Malim, hingga menyebabkan keretanya terbabas itu tidaklah mendebarkan sangat hatinya. Masa ini dia sempat membaca Qulhuallah beberapa kali. Sebab itu dia dapat merasakan kemalangan yang menimpanya itu tidaklah berat. Biasanya kalau kereta terbabas di situ jarang orangnya selamat. Kalau tidak pun kereta akan remuk teruk terhumban ke bawah ke bawah gaung.
Malah semasa Zaqlul keluar dari kereta, memang Ustaz Badur membaca Fatihah 17 kali, diikuti dengan Ayat Kursi 17 kali dan Surah Yassin. Dalam masa inilah Zaqlul menahan sebuah kereta yang dalam perjalanan menuju ke Ipoh. Pemandu kereta itu berbangsa CIna, telah menolong Ustaz Badur sehingga semua kesnya selesai. Kira-kira jam 3.00 pagi, barulah lelaki Cina itu meneruskan perjalanannya ke Ipoh.
"Begitulah Allah memberi pertolongan" kata Ustaz Badur tersenyum. "Tiba-tiba saja lelaki Cina itu lalu, dan terus bersusah payah menolong saya. Kalau kita benar-benar beriman kepada Allah, kita akan sedar bahawa itulah pertolongan Allah yang sebenar-benarnya" dia menjelaskan dengan terharu.
Saya mengangguk-ngangguk kepala. Tidak hairan kepada saya mengapa Ustaz Badur berkata demikian, kerana orang yang bertaqwa kepada Allah sentiasa bersyukur di atas segala pertolongan yang diterimanya dari Allah. Kita berterima kasih kepada orang yang menolong, tetapi bersyukur kepada Allah kerana kudrat dan iradatNya jua menyebabkan orang tersebut datang memberikan pertolongan.
Kadangkala inilah yang disalahertikan oleh mereka yang ingin mempelajari ilmu. Saya pernah didatangi oleh seorang pemuda yang beriya-iya sangat mahu mendapatkan ilmu yang boleh mengalahkan musuh. Saya memberitahunya bahawa tudak ada ilmu itu pada saya.
"Kenalah awak cari orang lain untuk berguru, kerana saya tidak pernah belajar ilmu macam tu" kata saya. "Kalau awak mahu kalahkan musuh, janganlah cari musuh" ujar saya sengaja bergurau.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment