Gambar Hiasan |
Ucapan itu seolah-olah satu mentera yang menaikkan semangat pelajarnya yang sedang dari tadi sibuk menyalin di dalam buku nota masing-masing. “Thank You Sir” ucap 34 pelajar di dalam kelas tersebut serentak. Bilik kuliah yang dari tadi sunyi sepi mula riuh. Safar dengan cepat mencapai semua barang-barang diatas mejanya dan disumbatkan kedalam beg galas yang sudah lusuh.
Dalam keadaan kelas yang riuh rendah, Safar menuju ke arah pintu. Tiba-tiba dia teringat sesuatu, “On Thursday, jangan lupa bawa sekali Company Law Act, kita nak study sikit case law” Kata-kata Safar seolah-olah tenggelam di dalam keriuhan kelas, hanya beberapa pelajar yang mengangguk tanda faham apa yang diperkatakannya. Safar meneruskan perjalanan keluar dari bilik kuliah. Terus ke tempat letak kenderaan staf yang jaraknya lebih kurang 50 meter dari bilik tersebut. Hanya ada beberapa kenderaan sahaja yang tinggal.
Angin malam yang nyaman menyegarkan Safar yang sudah sedikit mengantuk. Diseluknya poket jeans lusuhnya dan mengeluarkan sejambak kunci. Jari-jemarinya pantas mencari anak kunci motorsikalnya. Setelah kunci yang betul dijumpai, Safar segera menghidupkan motorsikal berkuasa 100cc yang sedari tadi kaku dihadapannya. Sungguhpun berenjin kecil, deruman enjin motorsikal Safar mampu memecahkan keheningan suasana.
Safar memulas pendikit dan motorsikalnya meluncur menuju ke pintu keluar kolej. Dari jauh, sayup kedengaran para pelajar kelasnya bergerak menuju ke hostel pelajar. Setelah sampai ke jalan besar, Safar memulas lagi pendikit motorsikalnya, kali ini motorsikal kecil itu meluncur laju. Jika dilihat dari arah belakang, seolah-olah motorsikal kecil itu membelah kepekatan malam yang sejuk itu. Beginilah kehidupan seorang pensyarah separuh masa di kolej swasta, bayaran tidak seberapa tetapi peluang ini sahaja yang ada untuk seorang graduan baru sepertinya.
Namun Safar bersyukur dan gembira dengan pekerjaannya di kolej kecil itu. Safar hanya perlu mengajar tiga kali dalam seminggu untuk kelas waktu malam. Tidak pernah sekalipun dia merungut tentang beban kerja, cumanya yang membuat Safar sedikit keberatan adalah masa perjalanan pulang dari kelas. Kelas yang bermula pada pukul 7:30 malam dan berakhir pada pukul 10:30 malam sememangnya menyusahkan. Apatah lagi dengan menaiki motorsikal kecil dari Salak Tinggi ke rumahnya di Shah Alam.
Keadaan lebuh raya pada malam itu agak berbeza dari malam-malam sebelumnya. Ini kerana kenderaan yang lalu adalah amat sedikit berbanding malam-malam lain. Perjalanan jauh itu cukup untuk membuat perasaan seorang penunggang motorsikal untuk dibuai dengan angan-angan. Keadaan lebuh raya yang lurus itu membolehkan dia hanyut di dalam pemikirannya sendiri. Tiba-tiba motorsikal yang dinaiki olehnya seolah-olah semput dan tersekat-sekat. Safar yang dari tadi sedikit mengelamun tersentak dengan keadaan itu. Mata Safar melilau mencari tempat untuk berhenti, dia bersyukur apabila terlihat tidak kurang 30 meter, terdapat sebuah tempat berteduh untuk motorsikal. Safar segera menuju ke tempat tersebut.
Setelah sampai, Safar segera turun dan menongkat motorsikalnya. Dibelek-belek kenderaanya itu dengan penuh tanda tanya. Kawasan teduhan di tepi lebuh raya itu hanya disinari dengan satu lampu jalan yang amat malap. Namun Safar dengan jelas dapat melihat motornya dan juga keadaan sekeliling. Pelik juga, biasanya masa seperti ini sudah tentu banyak kenderaan yang lalu lalang. Tetapi tidak pada malam ini. Hanya kendengaran bunyi motorsikalnya yang menderam.
Sekejap perlahan, sekejap kuat. Safar bingung dengan keadaan tersebut. Dengan tidak semena-mena Safar terdengan satu bunyi dentingan loceng yang amat kuat. Ia diikuti dengan ngiauan seekor kucing yang kesakitan. Bingkas Safar menoleh kearah bunyi tersebut, Safar dapat melihat seekor kucing yang menggelitik kesakitan betul- betul dibahu jalan. Safar segera berlari kearah kucing tersebut dan mendapati satu kesan luka yang amat besar di leher kucing itu. Safar hanya mampu melihat penderitaan kucing tersebut yang berakhir dalam beberapa minit sahaja.
Kucing yang sedari tadi menggelitik sakit telah diam dan kaku. Hanya bunyi enjin motorsikalnya yang masih lagi menjadi peneman di kawasan teduhan tersebut. Kerana kasihan melihat bangkai kucing itu dibahu jalan, Safar mengambil keputusan untuk mengangkat kucing itu dan meletakkannya kedalam sebuah lubang tanah yang telah sedia ada disitu. Disepaknya tanah-tanah halus agar menutupi lubang. “Macam mana pula kucing ni boleh mati? Tak ada kereta langgar, tak nampak pula bunyi anjing. Macam mana tiba-tiba ada luka besar di leher kucing tu?” detik hati Safar.
Perasaan seram mula menyelubungi dirinya, tiba-tiba satu teriakan yang amat kuat diikuti dengan suara tangisan yang amat menyeramkan memecah kesunyian malam. Safar segera melompat naik keatas motorsikalnya. Dipicit pendikit sehabis mungkin. Ditendangnya penghidup enjin semahu-mahunya. Motorsikal Safar sekali lagi meluncur keatas lebuh raya. Mula-mulanya tersekat, tetapi setelah beberapa ketika ia lancar semula. Safar masih lagi bernafas kencang, peluh sejuk membasahi dahinya. Apakah bunyi yang didengarinya tadi? Manusia kah? Binatang kah? Hati Safar lega apabila memasuki kawasan yang terang benderang di lebuh raya tersebut.
Setelah melepasi satu susur keluar, kereta sudah mulai banyak, dan terdapat juga beberapa motorsikal yang di hadapannya. Sekali lagi Safar dikejutkan dengan satu bunyi hon motorsikal yang kuat. Safar menoleh ke cermin pandang belakang dan melihat sebuah motorsikal berkuasa besar dibelakangnya. Motorsikal tersebut tidak memotongnya tetapi terus membunyikan hon berulang kali. Sekali lagi perasaan seram menjengah di hati Safar. Motorsikal berkuasa tinggi itu terus memecut dan memotong Safar. Semasa menoleh kearah motorsikal tersebut, barulah Safar perasan ada rambut yang menjurai dibahunya. Safar tidak berani mendongak keatas kerana khuatir apa yang bakal dilihat.
Dia hanya mampu untuk pandang ke depan dan berharap apa sahaja yang berada diatas kepalanya akan hilang sebentar lagi. Kerana terlalu takut, mulut Safar seolah-olah terkunci untuk membaca apa-apa ayat Suci Al-Quran. Pendikit motorsikalnya dipulas dengan lebih kuat. Harapannya untuk sampai terus ke Bandaraya Shah Alam dengan segera. Akhirnya Safar hampir sampai di susur keluar Shah Alam, apabila memasuki jalan motor, topi keledar yang dipakai oleh Safar diketuk dengan kuat sehingga menyebabkan Safar hampir terjatuh. Namun Safar tetapkan tekad untuk terus sampai ke rumah. Dipulasnya pendikit beberapa kali untuk melajukan motorsikalnya.
Sehinggalah sampai ke satu simpang sunyi selepas plaza tol di Shah Alam Safar memberhentikan motorsikalnya. Safar yang sudah keletihan dengan apa yang berlaku telah menjadi marah. “Apa nak jadi pun jadilah” Safar berkata kepada dirinya sendiri seraya mendongak keatas. Hatinya lega kerana sangkaannya meleset. Tiada apa yang ada diatas kepalanya, hanyalah langit gelap tidak berbintang. Sekali lagi keadaan sunyi menyeliputi malam. Tiada kenderaan di sekitarnya, hanya lampu-lampu malap yang menerangi jalan menjadi saksi kaku akan gelagatnya.
Safar melihat jam tangannya, sudahpun pukul 12:00 malam. Sekali lagi Safar memulas pendikit motorsikalnya, dan meluncur kembali ke jalan raya. Tiba-tiba, sesusuk tubuh wanita berpakaian putih muncul dihadapan motorsikal Safar. Safar cuba mengelak tetapi motorsikalnnya gagal dikawal. Safar jatuh berguling dan akhirnya terlentang dibahu jalan. Dia cuba untuk bangun tetapi gagal. Seluruh tubuh badannya seolah-oleh kebas dan tidak bermaya.
Darah pekat mengalir dari dalam topi keledar terus membasahi bajunya. Dalam samar-samar Safar dapat melihat tubuh seorang wanita tua yang berjalan terjengket-jengket menghampirinya. Walaupun samar-samar, jelas kelihatan rambut wanita tua itu yang panjang mengurai sehingga keparas pinggang. Safar hanya mampu mengerang kesakitan.
Tiada satu kenderaan pun yang lalu di kawasan tersebut. Wanita tua itu pula semakin lama semakin hampir. Bau busuk seakan-akan muncul serta merta dengan kehadiran wanita tua itu disisi Safar. Safar yang sedang terbaring hanya mampu berdoa di dalam hati agar dirinya tidak diapa-apakan. Wanita tua itu dengan kasar merentap topi keledar Safar hingga tertanggal, dia kemudian mendekatkan mukanya kepada Safar.
Dengan suara yang amat garau dan menyeramkan dia berkata: “Kenapa kau ambil makanan aku? Kau timbus pula. Sekarang kau jadi galang gantinya” Tiada siapa yang dapat mendengar jeritan Safar pada malam itu. Tiada siapa yang dapat melihat kengerian yang berlaku keatas seorang anak muda yang tidak berdosa. Apa yang pasti, seorang lagi insan telah menjadi mangsa kepada malam yang penuh dengan misteri dan rahsia.
Sumber : Koleksi Kisah Seram
No comments:
Post a Comment