Lagu Berhantu - Gloomy Sunday




Pada petang hari Ahad tahun 1933, Reszo Seress, seorang lelaki berketurunan Hungary duduk di hadapan piano di rumahnya sambil merenung langit menerusi kamar jendela nya. Dia melihat awan mendung, mencurahkan butiran hujan lalu membasahi bumi. "Ahad yang suram!" kata Seress.

Baru sebentar tadi Seress bertengkar hebat dengan tunangnya yang membawa kepada perpisahan mereka. Puncanya, tunangnya tidak setuju dengan keinginan Seress yang berazam mahu menjadi seorang pengubah lagu. Bagi si gadis, dia mahu Seress mencari pekerjaan tetap, bukannya meneruskan cita-cita yang tiada jaminan hidup, apatah lagi Seress sudah beberapa kali gagal sebelum apabila kesemua lagu gubahannya tidak pernah berjaya menarik minat para penerbit.

Petang ahad yang disirami dengan titisan hujan bagai meratapi kesedihan hati Seress. Bagaikan mendapat ilham daripada kepedihan hatinya, lantas jari-jemari Seress mula memetik piano, melantunkan melodi yang kedengaran amat menyedihkan, bagai menterjemahkan kekecewaannya. Seress lantas menulis nota lagu itu. Dalam masa 30 minit, lagu dalam bahasa Hungary itu siap dihasilkan. Lalu ia diberi nama Gloomy Sunday bererti Ahad yang suram dan menyedihkan.

Lagu itu kemudian dihantar kepada beberapa penerbit muzik. Tetapi, kesemua penerbit tidak mahu menerima lagu tersebut. Kata mereka, lagu itu terlalu menyedihkan. Namun akhirnya, seorang penerbit bersetuju untuk mencetak dan mengedarkan lagu Gloomy Sunday ke serata dunia dan ini membuat Seress gembira apabila lagu gubahannya diterima. Tetapi kegembiraan Seress tidak lama.

Beberapa bulan selepas lagu Gloomy Sunday diperdengarkan di merata tempat, mula berlaku perkara aneh yang dikaitkan dengan lagu tersebut. Ramai pendengarnya yang mati, seolah-olah lagu itu membawa kedukaan pada si pendengar lantas menjemput ajal mereka. Di Berlin, seorang lelaki menembak kepalanya setelah mendengar lagu tersebut kerana dikatakan amat tertekan dengan melodi lagu itu yang sukar melupakannya.


Tidak lama kemudian di bandar yang sama, seorang wanita ditemui mati tergantung di rumahnya dan polis menemui salinan lagu Gloomy Sunday yang baru dipasang di dalam bilik tidur gadis tersebut. Kemudian, seorang setiausaha di New York juga membunuh diri dan meninggalkan sekeping nota yang meminta agar lagu Gloomy Sunday dimainkan pada hari pengebumiannya.

Tidak lama selepas itu juga di New York, seorang lelaki berusia 82 tahun membunuh diri dengan melompat daripada tingkat tujuh pangsapurinya setelah memainkan semula lagu maut itu dengan pianonya. Di Rome pula, seorang remaja membunuh diri setelah mendengar lagu itu dengan melompat terjun daripada sebuah jambatan.

Seorang wanita di utara London memainkan lagu itu berpuluh-puluh kali tanpa henti hingga menaikkan kemarahan jirannya. Lantas jirannya mengetuk pintu rumah wanita itu tetapi tiada jawapan. Mereka akhirnya merempuh masuk dan didapati wanita itu sudah meninggal dunia dengan lagu Gloomy Sunday masih terus terpasang. Rupa-rupanya, keanehan lagu itu turut dirasai Seress yang menulis surat kepada bekas tunangnya, merayu agar mereka berbaik semula. Sebaliknya, Seress menerima berita mengejutkan apabila polis memberitahunya bahawa tunangnya telah mati membunuh diri dengan meminum racun. Dan di sisi tunangnya itu terdapat salinan lagu Gloomy Sunday.

Pelbagai kematian yang dikaitkan dengan lagu berhantu ini akhirnya memaksa Perbadanan Penyiaran British mengharamkan untuk memainkan lagu tersebut pada penghujung tahun 1930-an . Malah, Seress yang mencipta lagu tersebut turut membunuh diri selepas terjun dari pangsapurinya pada tahun 1968.

Sumber: Kisah Misteri

No comments:

Post a Comment