Ahmad Dhani Cari Sokongan Politik



Jakarta: Pemuzik kontroversi, Ahmad Dhani Prasetyo meningkatkan kempennya menjelang pilihan raya gabenor Jakarta 2017 dan pada masa sama berusaha mendapatkan sokongan parti politik dalam usaha mencabar gabenor yang ada sekarang, Basuki Tjahaja Purnama alias Ahok.

Walaupun sudah mendapat sokongan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Ahmad Dhani berkata, dia akan terus mendekati parti politik lain.

“Saya masih berusaha menemui pemimpin beberapa parti lain untuk menyokong pencalonan saya. Bagaimanapun, saya akan menyerahkan kepada parti itu untuk membuat keputusan sendiri,” kata Ahmad Dhani.

Dalam wawancara di sebuah hotel di Jakarta semalam, pemuzik itu juga berkata, pencalonannya bukan isu peribadi.

“Bukan saya yang merayu kepada parti dan meminta untuk dicalonkan.

“Parti terbabit yang menghampiri saya, meminta saya menjadi gabenor. Saya menyambut baik cabaran itu kerana saya mempunyai rancangan untuk dilaksanakan jika menjadi gabenor atau timbalan gabenor,” kata Ahmad Dhani.

Menurutnya, dia sudah cukup matang dan mampu berkhidmat kepada negara, baik sebagai ahli politik mahupun sebagai artis.

“Pada usia saya sekarang, saya mahu berkhidmat kepada negara,” katanya.

Ahmad Dhani juga berkata, dia mahu mendapatkan sokongan parti politik kerana tidak mempunyai dana peribadi untuk bertanding sebagai calon bebas. - Agensi

No comments:

Post a Comment