Diganggu Penunggu Lubuk Tupah

Gambar Hiasan

Lubuk Tupah ini terletak di daerah Merbok, Kedah. Lata air terjun yang cukup indah dan nyaman ini terletak di kaki Gunung Jerai.  Setiap hujung minggu iaitu hari jumaat kerana negeri Kedah cuti pada hari tersebut, ramai penggunjung yang berkelah bersama keluarga ataupun rakan-rakan.


Seriayu berpindah dari Felda Sungai Koyan dan telah pulang menetap bersama nenek serta bapa-bapa saudara sebelah ibunya yang masih belum berumahtangga.  Ia menjadi periang semula kerana bapa saudaranya yang di panggilnya Pak Chak begitu mengambil berat akan dirinya dan sering bermain-main dengannya.  Sikap menyendiri dan pendiamnya semakin kurang malah ia boleh diajak mencuci kereta ataupun menjaga burung-burung merpati peliharaan bapa saudaranya.

Suatu hari di pagi hari Jumaat, bapa saudaranya (Pak Chak) meminta izin pada ibu Seriayu untuk membawanya serta kakak-kakak dan abang-abangnya berkelah di Lubuk Tupah.  Ibu Seriayu agak keberatan tetapi memandangkan ia permintaan adiknya maka dilepaskan pergi.  Kedengaran sorakkan dari Seriayu serta adik-beradiknya kerana kegirangan.

Air terjun Tupah laju dan berpusar di lubuknya.  Bapa saudara Seriayu begitu suka melihat anak-anak saudaranya menjerit-jerit kesukaan dan kegirangan.  Mereka mandi manda dan terjun dilubuk itu tetapi memandangkan airnya deras maka mereka akan dibawa ke air yang cetek.  Seriayu yang masih kecil berumur dalam lingkungan 7 tahun hanya bermain-main air di kawasan yang cetek sambil memerhati saudara-saudaranya.  

Didalam hatinya, ia cukup teringin untuk terjun bersama saudaranya tetapi tidak diizinkan bapa saudaranya kerana ibu telah berpesan agar Seriayu tidak dibenarkan berenang kerana andaian orang-orang tua jika bayi itu tertanggal pusatnya didalam air maka ia akan mati didalam air dan semasa bayi, pusat Seriayu jatuh ke dalam baldi mandinya.

Waktu hampir pukul 12 tengahari, semua keletihan dan bersidai diatas batu-batu hampar yang panas sambil memakan nasi dan ketika itulah Seriayu telah terjun kedalam lubuk tersebut.  

Kedengaran bunyi seperti benda dilemparkan ke air maka bapa saudara Seriayu memalingkan mukanya dan ketika itulah dilihat dua tangan terkapai-kapai seolah-olah disedut kedasar lubuk.  

Sepantas kilat bapa saudara Seriayu terjun kedalam lubuk tersebut dan membawa keluar Seriayu sambil dimulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran.  Terus dibawa semua anak saudaranya pulang dan Seriayu cuma memberitahu ada nenek yang memanggilnya.  

Dirumah, Seriayu diberi minum air Yassin dan bapa saudaranya menceritakan kejadian yang berlaku sambil dia merasa pedih dibahagian belakangnya.  Ayah Seriayu terkejut bila belakang adik iparnya terdapat kesan cakaran yang cukup panjang dan dalam.  Ketika itulah bapa saudaranya berkata yang ia tidak akan membawa Seriayu ke situ lagi.

Selang beberapa tahun, kejadian tersebut telah dilupakan dan bapa saudara Seriayu yang telah berumahtangga dan mempunyai seorang anak.  Ketika itu umur Seriayu 14 tahun, isteri bapa saudaranya beria-ia nak berkelah di Lubuk tersebut, maka Seriayu sekeluarga serta bapa saudaranya 'Pak Teh' yang baru berpindah ke kampung selepas pencen tentera turut serta dalam rancangan tersebut.  Banyak makanan dibawa dan isteri 

Pak Chak telah membawa daging mentah untuk di bakar di tempat berkelah serta limau nipis untuk di picitkan kedalam air asam tanpa pengetahuan ibu Seriayu yang menjaga adab dan pantang larang jika masuk ke dalam hutan.  Sampai sahaja ke lubuk tersebut, seorang anak lelaki Pak Teh terus terjun kedalam air diikuti isteri Pak Teh dan kedua-duanya terkapai-kapai, dan Pak Teh terjun untuk menyelamatkan isterinya. Nasib baik ada anak saudara ayah Seriayu yang cekap berenang telah menyelamatkan anak Pak Teh.

Kejadian tersebut cukup mengejutkan, tetapi bila semua kembali tenang maka tikar dibentangkan dan buaian untuk anak kakak Seriayu diikat pada sebatang pokok.  Semua kembali ceria dan anak-anak bermandi manda tetapi orang-orang tua hanya memerhati sambil berbual-bual serta menjamu selera. 


Tiba-tiba ibu Seriayu melihat anak saudaranya yang perempuan berumur 14 tahun iaitu sebaya dengan Seriayu sedang mengelupur didalam air yang dalamnya cuma setakat betis sahaja.  

Cepat-cepat diangkat kepalanya oleh ibu Seriayu dan ia cuma menangis sambil menuduh ada orang menekan kepalanya ke dalam air.  

Dalam waktu kekecohan itu, semua tergamam dan terkaku bila melihat seekor ular hitam sebesar betis menyusur dibawah buaian anak saudara Seriayu yang sedang nyenyak tidur. Bila ular tersebut beredar, semua mengemas barang lalu dimasukkan kedalam kereta dan terus pulang.

Pada malam tersebut, dalam lingkungan pukul 3 pagi, ibu. Seriayu terkejut bila mendengar suara yang bertukar-tukar. Sekejap ia ketawa dan sekejap ia menangis tetapi suara itu cukup jelas.  

Ibu Seriayu menggerakkan ayah Seriayu lalu dibukakan lampu tetapi alangkan terkejutnya mereka bila suara orang tua yang yang mereka dengar itu datangnya dari Seriayu yang bermata merah menyala sambil ia sedang menyarungkan stokin bola abangnya. 

Di mulutnya tak habis-habis mengungkapkan "Aku sejuk" dan suara yang keluar semakin lama semakin garau lalu ibu Seriayu pun berkata dalam nada marah "Engkau rupanya, pergi balik! Kalau tak aku paksa cara kasar!"  

Secepat kilat, ayah Seriayu membawa anaknya kedepan pintu masuk rumah sambil ibunya telah mengambil beras yang telah dicampurkan kunyit dan lada hitam lalu dihempaskan ke seluruh tubuh Seriayu sambil berkata "Pergi kau dari sini, pulang semula ketempat asal kau".  

Tiba-tiba Seriayu tidak sedarkan diri dalam beberapa minit dan bila ia sedar ia keletihan dan mengadu yang badannya sakit-sakit.

Pada keesokannya, ibu Seriayu bercerita pada adik serta iparnya, semasa ia tidur pada malam itu, ada seorang wanita tua bongkok yang keluar dari air kumbahan belakang rumah, marah-marah kerana mereka telah mengotorkan rumahnya. 

Sedang ia bermimpi itulah ia terjaga bila mendengar tangisan dan hilaian Seriayu.  Waktu itu isteri Pak Chak mengaku yang ia telah melanggar pantang-larang kerana baginya perkara itu karut dan ia meminta maaf atas kesilapannya.  Tiba-tiba Pak Teh dan isterinya datang termengah-mengah sambil memberitahu yang gelang emasnya telah jatuh di tempat perkelahan semalam. 

Maka mereka berenam serta anak saudara ayah Seriayu yang cekap berenang telah ketempat itu semula.  Memandangkan ia awal pagi maka masih belum ada pengunjung yang datang.  

Sewaktu anak saudara ayah Seriayu menyelam-nyelam kedasar kolam dan ibu Seriayu serta yang lainnya mencari-cari di celah-celah batu, mereka seolah-olah terlihat kelibat orang tua melintas.  Semua mendongak serentak dan ketika itulah kelihatan ular hitam sebesar betis sedang melingkar di sebalik sebatang pokok.  

Ular yang kelihatan adalah ular yang sama dan ibu Seriayu mengajak adik-adiknya pulang dan dirumah ia memberitahu pada mereka, jika barang kemas hilang di tempat-tempat perkelahan atau hutan dan sewaktu mencari barang tersebut , muncul kelibat ular hitam, eloklah dibatalkan sahaja hasrat untuk mencari kerana ianya sia-sia.  Barang kemas itu telah diambil dan disimpan oleh Penunggu ditempat tersebut.

Itulah kali terakhir Seriayu ketempat Lubuk Tupah tersebut dan akhirnya terbuka cerita yang ayah kepada ibu Seriayu meninggal dunia secara tiba-tiba selepas pulang dari Lubuk Tupah tersebut.  Adakah ia kebetulan... Wallahualam..........

TAMAT.

Nukilan dari,
masryarnida

No comments:

Post a Comment