Bercinta Dengan Bunian I




Lama juga saya mahu mengetahui dari nenek, mengapa To’ Sheikh selalu datang membantunya. Kalaulah To’ Sheikh itu dari golongan bunian, apakah benar bunian ini makhluk yang baik dan bertimbang rasa?

“Bunian juga makhluk seperti kita,” kata nenek menceritakan kepada saya. “Ada golongan yang baik, ada golongan yang jahat. Ada setengahnya mengganggu orang, danada setengahnya menolong,” ujar nenek lagi.

Kadangkala ingin saya mahu melihat masyarakat bunian ini. Tetapi bila mendengarkan cerita nenek tentang masyarakat bunian ini, hati saya jadi gementar. Kata nenek, makhluk bunian ini adalah makhluk halus, manakala manusia biasa makhluk kasar.

Sebab itu apabila makhluk kasar diresapi oleh makhluk halus, mereka tidak berupaya melepaskan diri.

“Bunian ini akan menjamu sesiapa yang ditawannya dengan makanan yang lazat-lazat,” nenek menceritakan kepada saya selanjutnya. “Tetapi sebenarnya yang dimakan oleh orang yang ditawannya itu ialah cacing gelang-gelang atau tahi cacing,” ujarnya.


Nenek memberitahu saya beberapa tempat yangdikatakan sebagai kawasan orang bunian. Kononnya satu ketika dulu orang bunian ini berbaik-baik dengan orang-orang kampung. Sayangnya, orang-orang kampung tidak jujur terhadap orang-orang bunian.

Di kampung saya kawasan orang bunian ialah di darat kampung berhampiran dengan belukar rotan. Satu ketika dulu orang-orang kampung boleh meminjam pinggan mangkuk dari orang-orang bunian untuk melakukan upacara nikah kahwin.

Apabila dibakar kemenyan sambil menyeru penghulu bunian, sebutlah jumlah pinggan mangkuk yang dikehendaki. Esoknya, orang yang ingin meminjam itu akan mendapati pinggan mangkuk seperti yang dikehendaki sudah ada di depan pintu.


Syarat meminjamnya hanya mesti mengembalikan semua pinggan mangkuk itu dengan cukup. Kalau terdapat yang pecah atau retak mesti juga di kembalikan. Satu masa dulu orang-orang kampung sangat mematuhi syarat tersebut, kerana orang-orang tua dulu sangat jujur dan tidak pernah mungkir janji.

Tetapi selepas orang-orang tua tidak ada lagi, orang-orang muda mula berlaku tidak jujur. Ada setengah kalangan yang menyembunyikan pinggan mangkuk yang dipinjam. Ada juga setengah kalangan yang tidak mengembalikan pinggan mangkuk yang pecah atau retak, dengan alasan takut di marahi oleh orang-orang bunian.

Sejak itulah orang bunian tidak lagi memberi pinjam pinggan mangkuk. Ternyatalah manusia biasa ini tidak pernah jujur dalam berjanji. Akhirnya orang-orang bunian tidak lagi mempercayai mereka.

“Kalau difikir-fikirkan orang bunian ni tak jahat, kita manusia bertubuh kasar ni lebih jahat,” kata arwah nenek saya dulu. “Tetapi selalunya kita menyalahkan orang lain bila orang-orang bunian ini bertindak balas. Salah diri sendiri tidak di sedarinya,” begitulah nenek saya merungut bila mengenangkan perangai manusia ini.

Orang-orang bunian ini juga, menurut cerita nenek, adalah makhluk Allah seperti kita. Mereka juga hidup berkeluarga, bermasyarakat dan mempunyai peraturan hidup. Bezanya, kita tidak dapat melihat mereka, sedangkan mereka boleh melihat kita.


Kalau kita tahu orang bunian, mereka tidak akan berani mengganggu kita,” ujar nenek saya. “Kalau kita sudah tahu mereka orang bunian, bererti mereka kenal kita. Kalau dia sudah kenal kita, masakan dia mahu mengganggu,” katanya lagi.

Setelah mencungkil dari nenek mengenai pengalaman-pengalamannya sebagai bidan kampung, barulah saya menyedaribahawa nenek memang ada hubungan dengan orang bunian. To’ Sheikh yang sering menjelma apabila nenek menghadapi kesukaran, adalah penghulu bunian.

Dari cerita nenek, To’ Sheikh itu asalnya dari manusia biasa iaitu keturunan dari moyang nenek dulu. Tetapi To’ Sheikh tidak dapat balik semula ke pangkuan masyarakat manusia biasa, setelah dibawa lari oleh orang bunian.

Sebelum To’ Sheikh dilarikan oleh orang bunian, dia seorang pemuda biasa dikenali dengan nama Mat Akir. Kerja Mat Akir ini mencari rotan, damar dan manau ke hutan. Setiap hari dia ke hutan, kadangkala hingga lewat petang barulah balik ke rumah.

Ketika ini di mana-mana pun kampung di negeri ini masih diliputi oleh hutan tebal. Perhubungan antara satu kampung dengan kampung yang lain amat sukar. Binatang-binatang buas juga berkeliaran hingga kadangkala tersesat masuk ke dalam kampung.

Pada suatu hati Mat Akir masuk ke hutan seorang diri saja. Sudah menjadi kebiasaan kepadanya masuk ke hutan dengan tidak mengajak kawan-kawan. Mat Akir juga suka bersendirian saja kalau membuat apa-apa kerja pun.

Hari tersebut dia masuk ke hutan tidak balik ke rumah hingga lewat malam. Orang-orang kampung menjadi bimbang kerana Mat Akir tidak balik. To’ Lah yang menjadi Ketua Kampung menyuruh beberapa orang pemuda menjejaki Mat Akir ke tempat dia selalu mencari rotan, pada keesokan harinya.

Hinggalah tiga hari orang-orang kampong mencari Mat Akir, tetapi tidak juga bertemu. To’ Lah menyuruh pula Pawang Bulin menengok tetemas (ilmu semacam nujum juga), ke mana perginya Mat Akir. Kalau ditangkap binatang buas tentu ada kesan-kesannya.

“Kalau tak salah, dia ni disorok orang bunian,” kata Pawang Bulin memberitahu To’ Lah. “Biasanya kalau dah tumbuh tanduk di kepalanya susahlah dia nak balik semula kepada manusia biasa,”

“Berapa lama baru tanduknya tumbuh?” Tanya Mak Teh ibu Mat Akir pada Pawang Bulin.

“Tak tentu, kalau orang bunian dah perkenankan dia, takat tiga hari ni dah tumbuhlah,” beritahu Pawang Bulin menambahkan bimbangnya hati Mak Teh.

Bagaimana pun To’ Leh tidak putus asa. Dia tetap menyuruh anak-anak muda di kampung itu mencari Mat Akir. Kebetulan padahari yang ketiga itu Mat Akir balik semula ke rumah. Mak Teh terlalu gembira sambil mengadakan kenduri doa selamat menyambut kepulangan Mat Akir itu.

Bila ditanya oleh orang-orang kampung ke mana dia menghilang. Mat Akir memberitahu dia tersesat. Dia sampai ke perkampungan Orang Asli. Kebanyakan orang-orang kampung lebih percaya dengan cerita Mat Akir dari kata-kata Pawang Bulin yang mengatakan Mat Akir disorok oleh orang-orang bunian.

Sejak kehilangan Mat Akir, kemudian dia balik semula ke rumah selepas tiga hari, orang-orang kampung tidaklah menghiraukan sangat peristiwa itu. Mereka hanya menasihatkan Mat Akir supaya pergi bersama kawan-kawan bila masuk ke hutan.

Tapi bagi Pawang Bulin, dia tetap tidak percaya Mat Akir tersesat dihutan hingga sampai ke perkampungan Orang Asli. Mat Akir juga tidak menerangkan kepada sesiapa pun apakah yang dialaminya selama tiga hari sesat di hutan.

“Anak awak tu diubat Teh” nasihat Pawang Bulin pada Mak Teh.

“Eh, budak tu tak sakit, macam mana nak diubat,” bantah Mak Teh bercampur heran dengan desakan Pawang Bulin supaya mengubat Mat Akir.

Budak tu sakit. Cuba tengok mukanya pucat saja tidak berseri,” ujar Pawang Bulin menyakinkan dia.

“Entahlah To’ Pawang,” keluh Mak Teh semacam tidak percaya dengan dakwaan Pawang Bulin. “Fasal kulitnya putih, sebab itu kita nampak macam pucat aje. Saya tak tahu pula apa sakitnya budak Mat Akir tu,” katanya lagi.

“Aku cuma mengingatkan,” sahut Pawang Bulin. “Dia anak awak, kalau nak berubat boleh aku ikhtiarkan,” Pawang Bulin memberi pengakuan sanggup untuk menolong.

Mak Teh hanya mengangguk kepala memberi pengakuan, kerana tidak mahu melukakan hati Pawang Bulin. Pada hal di dalam hatinya dia langsung tidak percaya akan kata-kata Pawang Bulin yang mendakwa Mat Akir sedang sakit dirasuk orang bunian.

“Nantilah, kalau melarat sakit Mat Akir tu, saya beritahu pada To’ Pawang,” kata Mak Teh.

Pawang Bulin tidak boleh berkata apa-apa lagi. Mak Teh sendiri tidak berkeras mahu mengubat Mat Akir. Pada penglihatan Pawang Bulin, memang Mat Akir sudah dirasuk bunian. Mat Akir bukan lagi seperti Mat Akhir sebelumnya.

Dari mata kasar orang tidak nampak akan perubahan kelakuan Mat Akir. Tetapi Pawang Bulin sudah menduga sejak Mat Akir sering kehutan seorang diri saja. Apa lagi kelakuan Mat Akir tidak mahu bercampur gaul dengan anak-anak muda yang sebaya dengannya.


Bersambung...

No comments:

Post a Comment